Kebocoran data: CEO Facebook Mark Zuckerberg dijangka beri keterangan di Kongres

NEW YORK: Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg dijangka akan memberi keterangan di hadapan Kongres Amerika Syarikat (AS) pada Selasa, susulan skandal kebocoran data peribadi pengguna kepada sebuah firma perunding politik.

Facebook mengesahkan Zuckerberg menerima undangan untuk memberi keterangan di Kongres, dan mereka kini berbincang dengan pakar perundangan.

Sumber rapat dengan Kongres memaklumkan Zuckerberg terpaksa berdepan tekanan daripada pelbagai pihak termasuk ahli parlimen dari Amerika Syarikat dan Eropah, yang menuntut penjelasan bagaimana data 50 juta pengguna berjaya dimanipulasi firma perunding politik.

Pemimpin politik mahukan penjelasan berhubung amalan kerahsiaan Facebook, selepas seorang pemberi maklumat mendedahkan firma Cambridge Analytica memperoleh akses data yang tidak sepatutnya, untuk digunakan ketika pilihan raya.

Skandal melibatkan kebocoran data menyebabkan saham Facebook susut 4.9 peratus, dan turun 18 peratus sejak 16 Mac, selepas Facebook pertama kali mengesahkan data penggunanya disalurkan ke firma Cambridge Analytica, firma yang diupah kempen pilihan raya presiden AS, Donald Trump pada 2016.

Zuckerberg sebelum ini menolak permintaan parlimen Britain untuk memberi keterangan isu sama.

Pemberi maklumat, Christopher Wylie, yang pernah bekerja di firma berkenaan mendedahkan sebuah syarikat yang dikenali sebagai AggregateIQ membangunkan perisian yang menggunakan algoritma dari data Facebook untuk mensasarkan pengundi Republikan dalam pilihan raya presiden 2016.

Cambridge Analytica menafikan berkongsi data dengan syarikat berkenaan, sementara AggregatIQ tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung pendedahan Wylie.

Firma itu juga mengesahkan ia tidak menggunakan data pengguna Facebook untuk  kempen Trump, dan ia telah memadam semua data yang diperoleh daripada aplikasi pihak ketiga pada 2014.

Zuckerberg sebelum ini dalam satu permohonan maaf menerusi akhbar di Amerika Syarikat dan Britain, memaklumkan aplikasi yang dibangunkan pengkaji universiti membocorkan data jutaan pengguna Facebook pada 2014.

Beliau mengakui kesilapan yang dilakukan Facebook dan berjanji untuk menghadkan akses pembangun perisian ke atas maklumat pengguna.