Kuota Kekal 30,200 Jemaah Haji, Penerbangan Pertama Ke Tanah Suci 14 Julai Ini

Berita penting buat bakal-bakal jemaah haji dan ahli keluarga yang akan menghantar para jemaah ke tanah suci, penerbangan pertama jemaah haji 1439H/2018 dijadual berlepas dari tanah air ke tanah suci pada 14 Julai ini, manakala penerbangan terakhir pada 14 Ogos.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Johan Abdullah berkata ia membabitkan lapan lapangan terbang utama iaitu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang; Alor Star, Kedah; Bayan Lepas, Pulau Pinang; Senai, Johor; Kuala Terengganu, Terengganu; Kota Bharu, Kelantan; Kota Kinabalu, Sabah dan Kuching, Sarawak.

Katanya, kuota haji bagi tahun ini masih kekal seperti tahun lalu iaitu 30,200 jemaah.

Beliau menjelaskan bagi operasi haji tahun ini sebanyak 81 penerbangan sewa khas digunakan membabitkan 40 pesawat Malaysia Airlines Berhad dan 41 pesawat Flynas.

“Penerbangan balik bermula 29 Ogos sehingga 25 September ini,” katanya pada Sesi Taklimat Operasi Haji 1439H/2018 di Movenpick Hotel and Convention Center, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengurus Besar Kanan Jabatan Haji TH merangkap Pengarah Gerakan Operasi Haji Tanah Air, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Selain itu, katanya buat pertama kalinya bagi tahun ini, jemaah haji dari Lembah Klang dan kawasan sekitarnya akan berlepas dari Kompleks TH Sepang yang sebelum ini dilakukan dari Kompleks TH Kelana Jaya.

Semoga para bakal jemaah haji, mengambil tahu setiap perkembangan yang dilaporkan, bagi memudahkan segala urusan.

 

 

Sumber

Facebook Comments