Tiada Lagi Boya Untuk Mengesan Tsunami di Malaysia

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Alui Bahari, berkata alatan yang dipasang kontraktor utama, iaitu Astronautic Technology (M) Sdn Bhd (ATSB) terpaksa dilupuskan dengan persetujuan Kabinet ekoran beberapa faktor, khususnya aspek kos penyelenggaraan, keberkesanan dan ketahanan untuk beroperasi jangka panjang.

Projek boya tsunami dan tsunameter hasil kerjasama dengan Indonesia dilaksanakan susulan gempa melanda Acheh pada 2004 yang menyaksikan lebih 230,000 orang dari 14 buah negara, termasuk Malaysia terkorban, sekali gus terpahat sebagai bencana alam terburuk dalam sejarah.

Bagaimanapun, fungsi boya tsunami pertama yang ditempatkan kira-kira 500 kilometer (km) dari Langkawi dan kira-kira 60 km dari Bandar Aceh, Indonesia di Laut Andaman pada 30 Disember 2005 didapati tidak memancarkan data setiap sela masa 15 minit, sebelum pemeriksaan lanjut mendapati alatan itu hilang daripada pusat sauh.

Alatan sama yang diletakkan berhampiran Pulau Layang-Layang, Sabah dekat Laut China Selatan pada 7 Mac 2006 turut menimpa nasib sama dan dikategorikan sebagai dilupuskan pertengahan 2017 lalu, selepas alat berharga jutaan ringgit itu didapati hilang, sama ada hanyut dibawa arus atau menjadi ‘mangsa’ perbuatan vandalisme.

Boya tsunami ketiga yang dipasang berhampiran Pulau Sipadan, Sabah dekat Laut Sulawesi pada 2010 pula tidak digunakan lagi selepas meletup ketika diselenggara di atas kapal MV Pendamar sehingga menyebabkan kematian ketua jurutera warga Norway, Stig Erik Lyng.

Kejadian pada jam 11.45 pagi itu berlaku ketika Lyng, 53, cuba membuka salah satu skru pada penutup pelampung dengan menggunakan alat penggerudi, sebelum objek berwarna hitam dilihat terbang keluar dari pelampung itu angkara letupan dan mengenai kepalanya.

Bagaimanapun, Alui menegaskan negara masih mempunyai alternatif lain bagi mendapatkan maklumat awal mengenai amaran tsunami.

Beliau berkata, stesen tolok pasang surut (tide gauge) yang mengukur perubahan paras laut untuk mengesan tsunami sudah ditempatkan di beberapa lokasi sejak 2006.

Menurutnya, pemasangan tolok pasang surut itu seiring dengan tiga boya tsunami yang ditempatkan di tiga lokasi perairan iaitu Laut Andaman, Laut Sulawesi dan Laut China Selatan.

“Sudah tentu kita mempunyai alternatif lain untuk mengesan tsunami sebelum mengambil keputusan untuk melupuskan tiga boya tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama.

 

 

Sumber:Ratusembang,Kosmo,BH