Wow! Roti canai paling sihat di dunia akan dijual di Malaysia. Hebat!

Foto:Dr Rajen (kanan) dan Timothy menunjukkan hidangan roti canai berindeks glisemik rendah pada sesi taklimat media yang diadakan di Hotel PJ Hilton di sini, Rabu.

PETALING JAYA: Roti canai dan rakyat Malaysia memang tidak dapat dipisahkan, namun mungkin ramai yang tidak sedar bahawa kandungan karbohidratnya yang tinggi boleh meningkatkan risiko penyakit berbahaya.

Hollista Colltech Ltd dengan kerjasama Kawan Food Berhad memperkenalkan ‘Roti Canai Paling Sihat di Dunia’ yang rendah indeks glisemik dan kandungan lemak untuk memberikan alternatif kepada penggemar roti canai.

Roti canai sejuk beku yang akan dipasarkan pada April depan ini tidak mengandungi bahan kimia dan masih mengekalkan rasa asli roti canai.

Ketua Pegawai Eksekutif Holista Colltech, Datuk Dr Rajen M berkata, roti canai sejuk beku itu akan membantu menangani masalah penyakit obesiti yang semakin meningkat di negara ini.

“Kalau kita makan roti canai atau roti putih, gula dalam darah akan meningkat dengan pantas. Ini adalah tidak sihat kerana menyebabkan kita mengalami darah tinggi, diabetes, jantung, obesiti, merendahkan tahap tenaga, teringin makan (food cravings) dan mengantuk.

“Jadi, kami memperkenalkan kaedah baharu yang digunakan di peringkat antarabangsa untuk merendahkan risiko penyakit tersebut melalui pengambilan makanan berindeks glisemik rendah,” katanya ketika ditemui pada sesi taklimat media World’s Healthiest Roti Canai di sini pada Rabu.

Tambah beliau, antara bahan yang digunakan untuk menghasilkan roti canai paling sihat itu adalah kacang bendi, kacang dhal, barli dan halba.

Roti canai tersebut disasarkan untuk merendahkan sebanyak 40 peratus daripada 70 bacaan purata global roti paratha (flatbread).

Hollista Coltech Ltd merupakan syarikat penyelidikan bioteknologi yang menghasilkan bahan-bahan semula jadi kelas pertama dan produk kesihatan yang berpangkalan di Perth, Australia.

Sementara itu, Kawan Food Berhad pula adalah pembekal makanan sejuk beku utama yang menghasilkan produk seperti roti, paratha, capati, pemanis mulut, pastri dan sayur.

Pengarah Urusan Kawan Food Berhad, Timothy Tan berkata, syarikatnya bukan sahaja akan memasarkan produk terbaharu tersebut di Malaysia, tetapi turut menemui pengguna di Amerika Syarikat pada Jun depan.

“Kami bangga dapat bekerjasama dengan Hollista untuk menjadi yang pertama di dunia yang menawarkan flatbreads sihat seperti roti canai dan capati.

“Penyelidikan dan percubaan produk dirancang akan dilaksanakan oleh Universiti Sydey, Australia pada bulan ini bagi mencapai piawaian antarabangsa indeks glisemik,” ujarnya.

Setakat ini, harga bagi produk tersebut belum diputuskan dan akan dimaklumkan pada majlis pelancarannya yang dijangka berlangsung April depan.

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! DTK

Sumber:mstar