Bestnya Orang Yang Tiada Ujian Dalam Hidupnya Tetapi…

Pujuklah hatimu andai ujian yang mendatang itu seakan menghimpitmu. Bukan Allah tidak peduli. Bukan Allah hendak menyeksamu. Bukan Allah sudah tidak melihat usaha dan doa-doamu, bukan Dia tidak kisah air matamu. Dia cuma hendak kamu tahu bahawa Dia menyayangimu.

Begitulah apa yang diterangkan oleh seorang ibu, Puan Ainizal Abdul Latif saat anaknya bertanya tentang ujian. Cuba renungkan bersama.

Istilah Ujian Hidup

Hari ini apabila anak semakin besar, dia sudah mula faham akan erti UJIAN hidup.

Satu hari dia melahirkan rasa hatinya,

“Mama, ‘best’ nya orang yang tiada ujian besar dalam hidupnya. Allah tak uji hidupnya susah. Lagi ‘best’ jika dari lahir hingga dewasa, tidak pernah ada masalah dalam hidup.”

Saya dengan muka berkerut menjawab,

“Sebenarnya orang yang tiada ujian dalam hidup itu lebih besar ujiannya.”

Dia, yang dua kali lebih berkerut mukanya daripada saya terus bertanya,

“Ye ke mama, kenapa mama cakap macam tu pula?”

Baik, cuba dengar apa yang mama mahu ceritakan ini…

Jalan Lopak vs Jalan ‘Highway’

Seorang pemuda yang tinggal jauh di pedalaman mendapat tugasan ke luar kota. Kerana kesempitan wang dia tidak mampu menggunakan jalan ‘highway’ untuk sampai ke destinasinya.

Sebaliknya, dia hanya mampu menggunakan jalan yang tiada tol. Jalan tersebut merupakan jalan kampung yang sempit dan dipenuhi lopak di kanan kiri dan sangat membahayakan!

Kawannya juga mendapat tugasan yang sama ke luar kota, namun, kawannya tidak mahu menggunakan jalan kampung, sebaliknya dia punya rezeki untuk melalui jalan yang lebih selamat, selesa dan lebih mudah untuk sampai ke destinasi mereka.

Dalam perjalanan, pemuda ini tidak habis-habis merungut kerana keadaan jalan yang berlopak-lopak ini tidak membenarkannya untuk leka apatah lagi terlelap barang seketika.

Sesekali dia tersasar sehingga terlanggar lopak dan kepalanya mencium stereng kereta. Perhatiannya ditajamkan 150%. Memastikan perjalanannya sentiasa berada di ‘track’ yang betul.

Dalam hatinya pula tidak berhenti dia berdoa kepada Allah agar dia selamat sampai ke destinasinya dengan selamat. Jauh disudut hatinya membayangkan bagaimanalah nasib anak-anaknya jika sesuatu berlaku padanya.

Akhirnya, pemuda ini sampai ke destinasi dengan selamat, walaupun dia terlewat beberapa jam. Namun ada sesuatu yang mengejutkan dia,

“Encik, kawan encik meninggal dunia dalam perjalanan kesini. Dia terlibat dengan kemalangan jalan raya. Dia di syaki memandu dalam keadaan mengantuk kerana pemandu lain melihat keretanya terbabas sebelum di rempuh kereta lain…”

Andai Tiada Ujian…

Saya terus menerangkan,

“Baik, mari kita lihat analogi daripada cerita ini. Pemuda itu ialah orang yang sedang mendapat ujian yang hebat. Dia mahu sampai ke destinasinya tetapi terpaksa melalui jalan sukar. Beberapa kali terhantuk, tersedar lalu membetulkan semula jalannya. Berdoa mengharap bantuan Allah sehingga akhirnya sampai ke destinasi.

Kawannya tadi dapat kita lihat sebagai orang yang tidak mengalami ujian yang hebat. Dia tidak melalui jalan yang sukar untuk ke destinasinya. Jalan yang di laluinya lurus dan besar sehingga membuatkan dia dengan mudahnya terlena dan tidak sedar dia terbabas sehingga menyebabkan kemalangan berlaku dan akhirnya dia tidak sampai ke destinasi. ”

Mulutnya sudah mula terlopong. Masa terbaik untuk masukkan input dalam pemikirannya.

“Jadi, apa destinasi kita?”

“Akhirat.”

“Apa cabaran kita?”

“Dunia dan kesenangannya.”

“Apa yang menjadi peringatan kepada kita untuk tidak leka?”

“Ujian hidup yang berliku, membuatkan kita sentiasa berhati-hati. Terhantuk, tersedar dan mengharapkan pertolongan Allah supaya diberikan jalan yang lurus.”

“Baik, sekarang nampak tak, kenapa orang yang tiada ujian ini sebenarnya lebih besar ujiannya?”

“Kerana dia tidak sedar sebenarnya kesenangan dunia melekakannya sehingga dia tersasar dari tujuan asal hidup dan akhirnya destinasinya tidak sampai.”

Mulut yang sedari tadi senyap mula bersuara,

“Beruntunglah orang yang sering diperingatkan oleh Allah ye mama..”

“Kannn???”

 

Sumber

Facebook Comments