Tragedi Kari Telur, Isteri Mati Ditembak Suami

Sudahlah pulang dalam keadaan mabuk, ditembaknya pula isteri sampai mati gara-gara enggan memasak telur kari.

MasyaAllah apa punya jenis suamilah macam ni? Jangan fikir ini sebuah drama ya, ia adalah kejadian benar yang berlaku di kampung Devdas di daerah Shahjahanpur, Uttar Pradesh.

Lelaki yang dikenal pasti sebagai Navneet Shukla, menggunakan pistol berlesen bapanya untuk membunuh isterinya, Mangesh.

Kejadian berlaku, apabila isteri malang berkenaan dikatakan enggan memasak kari telur seperti yang diminta oleh suaminya, dalam kejadian pada Khamis lalu.

Semuanya berlaku apabila Shukla, yang pulang ke rumah dalam keadaan mabuk menyuruh isterinya masak kari telur. Namun isterinya enggan, mungkin kerana sakit hati melihat perangai buruk si suami lalu menyebabkan pertengkaran berlaku.

Dalam keadaan marah, Shukla keluar rumah dan kembali dengan pistol berpeluru sebelum menembak isterinya. Dia kemudian melarikan diri dari tempat kejadian, lapor The Times of India.

Selepas itu penduduk tempatan bergegas ke rumah mereka dan mendapati Mangesh terbaring dalam keadaan berlumuran darah. Dia dibawa ke sebuah hospital berdekatan dengan ambulans, namun sudah terlambat.

“Mangesh berkahwin dengan Shukla hampir 12 tahun yang lalu dan pasangan itu mempunyai tiga anak. Shukla adalah seorang petani dan mempunyai beberapa ekar tanah di kampung itu. Dia tinggal di rumah yang sama dengan ibu bapanya.

“Anak-anaknya pergi ke sekolah dan ibu bapanya pergi berjumpa doktor pada masa kejadian,” kata pegawai balai polis Roza, Jasveer Singh, memetik The Times of India.

Pihak berkuasa berjaya menangkap Shukla pada Jumaat dan didakwa di bawah seksyen 302 (pembunuhan) Kanun Keseksaan India. Dia telah dihantar ke penjara daerah Shahjahanpur.

Sumber: mStar

Facebook Comments