10 Filem Tempatan 2018 Yang Gagal Kutipan Tiket di Pawagam

Industri perfileman Malaysia kini menunjukkan perkembangan luar biasa apabila beberapa buah filem tempatan berjaya mendapat jumlah kutipan tertinggi dalam sejarah antaranya Hantu Kak Limah, Munafik 2 dan terbaru Paskal.

Namun di sebalik kejayaan filem tersebut, terdapat juga beberapa filem yang boleh dianggap sebagai gagal kerana kurang mendapat sambutan daripada peminat filem tempatan.

Oleh itu, kami kongsikan 10 filem Melayu yang mendapat kutipan paling rendah setakat November 2018:

Bidong The Boat People- RM3,000

Dengan hanya mendapat jumlah kutipan sebanyak RM3,000, layaklah kita simpulkan bahawa filem ini antara yang paling teruk sepanjang 2018. Filem arahan Yusof Kelana ini megisahkan tentang seorang gadis bernama Kien Bidong yang mahu kembali ke Pulau Bidong untuk memperingati hari kelahirannya. Rata-rata menganggap mesej yang ingin disampaikan kurang jelas dan menyebabkan filem ini kurang mendapat sambutan.

2. Enjin No. 9- RM7,000

Walaupun menampilkan penyanyi popular, Tajul sebagai peneraju utama, filem komedi Enjin No.9 tetap gagal apabila hanya meraih kutipan sebanyak RM7,000 sepanjang ia ditayangkan.

3. Qhaliq- RM14,000

Pasti ramai yang tidak tahu, sebelum adanya Paskal, Qhaliq merupakan sebuah filem aksi lakonan Hairul Azreen. Filem bomba pertama ini dikatakan gagal dek kerana kegagalan pihak penerbit mempromosikan filem tersebut dengan baik. Oleh itu, filem ini hanya memperoleh jumlah kutipan sebanyak RM14,000 sepanjang tempoh tayangan.

4. This Is Pilah – RM45,000

Filem berlatar belakangkan budaya Negeri Sembilan ini dilihat masih gagal menarik perhatian penonton meskipun dibintangi oleh rapper popular Waris dan Juzzthin. Dengan hanya mendapat jumlah kutipan bawah RM50,000, pihak Finas menyenaraikan filem ini antara yang gagal bagi tahun 2018.

5. Hantu Wangan- RM89,000

Suatu ketika dahulu, filem Hantu Wangan arahan pengarah, Ahmad Idham ini pernah dipalit kontroversi apabila ia dikatakan meniru konsep pengarah, Pekin Ibrahim yang mengarahkan filem KL Wangan. Walaupun dipalit kontroversi, filem ini masih gagal mencuri hati penonton apabila jumlah kutipan tiket hanya mencecah RM89,000.

6. Badang – RM93,000

Filem adiwira tempatan, Badang yang dilakonkan sendiri oleh usahawan, Datuk Seri Aliff Syukri telah dikecam hebat gara-gara kualiti filemnya yang dikatakan sangat teruk. Malah, populariti yang dimiliki Datuk Aliff dilihat masih belum mampu menarik peminat untuk hadir ke pawagam menonton filem lagenda tersebut.

7. Busker – RM96,000

Busker merupakan sebuah filem muzikal romantik Malaysia yang dilakonkan oleh Daiyan Trisha, Hafeez Mikail, Lia Natalia dam Anas Ridzuan. Fiem terbitan Astro Shaw itu dilihat kurang mendapat sambutan juga menerusi masalah kegagalan komersial.

8. Bukan Cinta Malaikat- RM127,000

Bukan Cinta Malaikat merupakan filem arahan Aziz M. Osman dengan kerjasama dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia. Walaupun dibarisi pelakon hebat seperti Ashraf Muslim dan Nora Danish, filem cinta ini dilihat gagal untuk menyayingi filem cinta Islamik Indonesia seperti Ayat-Ayat Cinta dan Syurga Yang Tak Dirindukan.

9. Makrifat Cinta- RM138,000

Walaupun filem ini dibarisi banyak pelakon hebat seperti Syamsul Yusof, Nora Danish, Adi Putra, Nabila Huda dan Puteri Balqis, filem ini dilihat gagal untuk menarik minat penonton. Meskipun menggunakan teknik Motion Poster, filem ini turut disenaraikan sebagai salah satu daripada filem Malaysia dengan kutipan pecah panggung terendah 2018.

10. Blok 404- RM220,000

Blok 404 merupakan filem seram Malaysia 2018 arahan Azma Aizal Yusoof terbitan DBI Entertainment. Ia merupakan pembikinan semula daripada telefilem dengan judul sama arahan Silver Chung lakonan Zamarul Hisham dan Nabila Huda yang pernah mencetuskan fenomena sekitar 2003. Namun, filem ini tidak dapat meneruskan fenomena tersebut apabila hanya menerima jumlah kutipan sebanyak RM220,000 sahaja.

Namun harus diingat, filem yang mendapat kutipan pecah panggung tidak semestinya merupakan filem terbaik dan begitulah sebaliknya.