Bersanding kali kedua -selain tunai amanat bapa, Dato Fazley ingin tutup episod duka persandingannya 13 tahun lalu

PETALING JAYA: Persandingan semula Datuk Fazley Yaakob dan isteri, Azrene Ahmad dibuat atas permintaan arwah bapa yang mahu mereka meraikan majlis itu buat kali kedua.

Fazley, 40, memberitahu, bapanya, Allahyarham Datuk Yaakob Mohammad mahu majlis perkahwinan mereka diraikan dengan kegembiraan, bukan seperti yang dilalui 13 tahun lalu.

“Malam ini, marilah kita lupakan sejarah 13 tahun lalu.


“Seminggu sebelum bapa meninggal dunia, arwah menggenggam tangan kami dan mengingatkan mengenai majlis ini.

“Hari ini, pada usia 40 tahun, saya dan isteri memiliki empat anak… Alhamdulillah ,” katanya ketika berucap di majlis persandingan mereka di sebuah premis acara di sini, sebentar tadi.

Meraikan ulang tahun perkahwinan yang ke-13, pasangan ini mengambil kata sepakat bersanding semula sambil disaksikan keluarga terdekat dan wakil media.

Bertemakan perkahwinan dalam taman dengan busana tradisional moden, Fazley dan Azrene berarak ke singgahsana sambil diiringi paluan kompang. Majlis itu dihadiri hampir 350 tetamu.

Lebih menarik, tayangan foto majlis persandingan pertama pada 7 November 2005 turut dipaparkan di layar besar selain ucapan istimewa arwah bapa.

Fazley bersyukur majlis persandingan semulanya dengan isteri, berlangsung meriah.

“Alhamdulillah, majlis hari ini lancar. Tiada yang lebih membahagiakan saya apabila persandingan semula ini dapat disaksikan keluarga terdekat, sahabat handai dan hampir seluruh rakan media yang menyokong karier saya.


“Apa yang kami lalui hari ini dianggap pembuka lembaran baharu dan menutup tirai duka 13 tahun lalu,” katanya.

Fazley dan Azrene memiliki empat anak iaitu Ahmad Fariedz, 10, Ahmad Fieradz, 8, Ahmad Fierudz, 7, dan Alayna Selma yang berusia setahun.


 

 

Sumber:BH,IG Dato Fazley,Datin Azrene

Facebook Comments