Demimu wahai isteri..

PELAKON, Datuk Aaron Aziz terpaksa menolak tawaran berlakon projek filem untuk saluran HBO pada saat akhir kerana isterinya, Diyana Halik berdepan dengan masalah kesihatan.

Menurut Aaron, 42, dia tidak menyesal kerana terpaksa menolak projek filem itu kerana lebih mengutamakan keluarga dalam segala hal.

“Saya akui tawaran berlakon dalam projek filem untuk saluran HBO itu adalah peluang yang sangat besar sekali gus platform terbaik karier seni untuk dikenali di peringkat antarabangsa.

“Malah, isteri sendiri berasa bersalah bila dapat tahu saya terpaksa melepaskan peluang keemasan yang sudah depan mata itu,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Aaron yang menempa nama dalam filem Ombak Rindu dan KL Gangster itu, dia terpaksa berterus terang dengan penerbit filem itu mengenai masalah kesihatan isteri sebelum melepaskan tawaran.

“Bayangkan, saya sudah berada di lokasi penggambaran untuk memulakan sesi latihan untuk watak dalam filem itu tapi sayangnya ia tidak dapat diteruskan.

“Mujur penerbit filem itu cukup memahami situasi dialami dan professional ketika kami berbincang mengenai masalah keluarga dihadapi,” katanya.

Ditanya dakwaan dirinya mahu meninggalkan bidang lakonan pula, Aaron turut menafikannya.

“Saya masih meminati bidang seni dan tidak akan berhenti berlakon seperti yang tersebar itu. “Cuma saya tidak lagi terkejar-kejar untuk merebut semua tawaran yang datang seperti pada pembabitan awal dalam bidang lakonan dulu.

“Saya tidak kisah jika orang anggap diri ini sudah tidak popular lagi kerana pernah berada dalam kelompok artis popular sebelum ini,” katanya.

Aaron berkahwin dengan Diyana Halik pada 3 Ogos 2003 dan dikurniakan tiga anak – Danish Anaqi, Dwi Ariana dan Dahlia Arissa dan kini berstatus penduduk tetap Malaysia.

Pada 16 Disember 2017, beliau bersama-sama dengan pelakon Farid Kamil telah dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Dato’ sempena memuliakan ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar di Pekan, Pahang.

Sumber: HMetro,Wikipedia