Exists Kembali Dengan Ahli Anggota Asal- Bakal adakan konsert reunion, jelajah tiga negara

KOMPOSER terkenal Ajai mengesahkan kumpulan popular era 1990-an Exists bakal kembali bersatu bersama kesemua anggota asalnya bagi
menjayakan projek termasuk konsert di tiga buah negara tahun ini.

Ajai atau Mohd Faizal Maas, 43, yang juga bekas pemain keyboard Exists berkata, projek istimewa itu bakal diadakan sebagai merialisasikan permintaan peminat yang ingin melihat mereka bersatu kembali di atas pentas selepas 20 tahun tidak berbuat demikian.

“Idea untuk mengadakan reunion ini sebenarnya kami sudah rancang sejak dua tahun lalu namun kekangan masa dan kesibukan kesemua anggota Exists menyebabkan ia sering tertangguh.

Ajai memuat naik gambarnya bersama Mamat selepas 20 tahun tidak bersua muka.

“Alhamdulillah selepas beberapa kali berbincang akhirnya kami memutuskan untuk mengadakan konsert tersebut pada tahun ini dan nampaknya ia sedang menuju ke arah positif.

“Jika tiada aral melintang kita bukan sahaja akan mengadakan konsert di Malaysia tetapi Singapura dan Indonesia,” katanya kepada mStar Online.

Baru-baru ini, Ajai memuat naik gambarnya bersama vokalis asal Exists iaitu Mamat di Instagramnya selain memberi bayangan mereka akan bersatu semula menerusi sebuah konsert.

Untuk rekod, Ajai dan Mamat adalah anggota asal Exists yang ditubuhkan pada 1991 bersama empat anggota lain iaitu Musa (bass), Ujang (dram), Shah (gitar), Along (gitar).

Populariti Exists dalam kalangan penggemar muzik tidak dapat disangkal.

Bagaimanapun Mamat mengambil keputusan meninggalkan Exists pada 1994 sebelum Ajai mengambil tindakan serupa tiga tahun kemudian.

Tempat Mamat kemudiannya digantikan oleh Ezad Lazim yang berjaya membawa nama kumpulan itu sehingga ke Indonesia.

Malah album mereka Diammu Gunung Berapi (1995) terjual 600,000 unit di negara itu selain selain tiga lagi album mereka Mencari Alasan (1996; 750,000 unit), Buih Jadi Permaidani (1997; 600,000 unit) dan Dirantai Digelangi Rindu (1999; 100,000 unit).

Dalam pada itu, Ajai berkata sebagai rangka promosi konsert itu yang dijangka diadakan pada penghujung tahun ini, Exists akan membuat kemunculan di beberapa acara televisyen termasuk sebuah konsert khas untuk siaran RTM tidak lama lagi.

Ajai baharu sahaja melancarkan single duet bersama pelakon Saharul Ridzwan berjudul Buku Putih.

Bagi merancakkan kembali reunion itu, Ajai memberitahu mereka akan tampil dengan sebuah single terbaharu yang menggandingkan dua vokalisnya Ezad dan Mamat.

“Setakat ini kami belum ada tarikh tertentu untuk konsert tersebut kerana ia masih dalam proses perbincangan selain mencari lokasi sesuai… Namun apa yang pasti ia akan diadakan pada tahun ini juga,” katanya.

Sementara itu, Ajai berkata, reunion itu bukan bererti mereka bersatu kembali sebagai sebuah kumpulan sebaliknya ia hanyalah projek istimewa bagi menghargai peminat setia mereka.

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! DTK

Sumber:mstar

Facebook Comments