Pesan Jejai buat Aidil

BEKAS suami kepada Fasha Sandha lega apabila mengetahui aktor Aidil Aziz sangat rapat dengan anak-anak mereka.

Rizal Ashram Ramli atau Jejai berkata walaupun hanya pernah bertemu dengan Aidil hanya tiga kali namun banyak cerita baik didengar tentang aktor itu.

“Aidil, tahniah. Saya bertemu dengan anda tiga kali tetapi saya hanya mendengar perkara baik tentang anda.

“Anak-anak adalah segala-galanya buat saya dan saya bersyukur hubungan anda rapat dengan mereka. Ia sangat penting,” katanya di Instagram.

Fasha, 35 dan Aidil, 32, selamat bergelar suami-isteri dengan sekali lafaz pada majlis pernikahan yang berlangsung di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail, Kangar Perlis pada pagi Sabtu.

Jejai dan Fasha dikurniakan dua cahaya mata ketika mendirikan rumah tangga pada 2012.

Sebelum ini Fasha dan Jejai mendirikan rumah tangga pada 27 April 2012 namun mereka bercerai tiga tahun kemudian.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Putra Rayfal, 6 dan Putri Reysha Jemyma, 5 tahun.

Dalam pada itu, Jejai turut melahirkan rasa gembira dan lega apabila pasangan itu akhirnya disatukan sebagai suami-isteri.

Kata Jejai, dia mendoakan agar ikatan tersebut membawa kebahagian dan kegembiraan kepada mereka sehingga akhir hayat.

“Fasha, Alhamdulillah selesai majlis nikah. Saya sangat gembira dan lega yang anda berdua akhirnya bersatu sebagai suami-isteri.

“Saya yakin Rayfal dan Jemyma gembira meraikan anda berdua hari ini. Saya mendoakan agar ikatan ini akan membawa kebahagian dan kegembiraan sehingga ke akhir hayat,” ujarnya.