“Bengkak itu sudah lama dan mula bernanah”- Pelakon Ezatty dibedah segera kerana bengkak susu. Apakah itu Bengkak Susu dan Cara Mengatasinya

PELAKON Ezatty Abdullah, 27, terpaksa menjalani pembedahan segera di sebuah hospital swasta akibat bengkak susu.

“Saya menjalani pembedahan payu dara kerana mengalami bengkak susu. Bengkak itu sudah lama dan mula bernanah. Biasanya kalau bengkak susu, saya pam akan okey.

“Tapi kali ini apabila pam, tak okey. Saya sudah ikut semua petua yang ada. Balik saja dari Singapura semalam, ia menjadi semakin teruk,” katanya dihubungi Harian Metro.

Katanya, doktor cuba memberi rawatan biasa dengan menyuntik keluar lebihan susu pagi tadi malangnya bengkak dialami semakin teruk.

Katanya lagi, dia perlu menjalani rawatan mencuci luka setiap hari selama seminggu selepas dibenarkan keluar daripada hospital, esok.

Ezzaty dan suaminya, Azwan Kombos dikurniakan anak perempuan diberi nama Harum Dahlia pada 6 Disember tahun lalu.

Pasangan pelakon itu berkahwin pada Julai 2016.

6 Cara Mengatasi Bengkak Susu, Bahaya Kalau Dibiarkan!
“Bisanya payudara ni… Macam mana nak menyusukan ‘baby’ kejap lagi. Berdenyut-denyut rasa sakitnya. Apalah cara mengatasi bengkak susu ni ya?”

Dalam setiap episod penyusuan badan, ibu-ibu tentu pernah mengalami banyak masalah seperti bengkak susu, puting melecet, puting tersumbat, dan sebagainya.

TANDA BENGKAK SUSU


Antara tanda bengkak susu adalah rasa sakit dan tegang pada payudara, terasa keras, sedikit panas, dan jika disentuh, ada ketulan di dalamnya. Keadaan ini sedikit sebanyak turut mempengaruhi kondisi puting payudara. Bayi mungkin akan beasa sedikit sukar untuk melekap seperti biasa akibat puting yang tenggelam.

Nampak remeh, tetapi sebenarnya bengkak susu tidak patut dianggap ringan kerana ia boleh menyebabkan masalah yang lebih serius seperti mastitis sehingga memerlukan pembedahan.

Maka, kami ingin kongsikan beberapa cara mengatasi bengkak susu agar ianya dapat dikawal secepat mungkin.

6 CARA MENGATASI BENGKAK SUSU DENGAN MUDAH DAN BERKESAN

Cubalah melegakan atau mengatasi bengkak susu melalui cara ini.

1. TUAMAN PANAS

Semasa payudara terasa sangat bisa dan berat, cubalah lakukan tuaman panas di rumah.

Terdapat beberapa cara melakukannya, sama ada menggunakan pek air panas, tuala yang direndam dengan air suam, dan mandian air panas di pancuran (shower).

Dengan cara ini juga, pengeluaran susu pada saluran-saluran yang tersumbat dapat menjadi lebih lancar.

2. MENGURUT PAYUDARA
Anda mungkin berasa sangat sensitif apabila payudara anda disentuh, apatah lagi diurut, bukan? Tetapi, jangan biarkan perasaan ini menghalang anda untuk melakukan urutan.


Urutan pada payudara amat membantu mengurangkan bengkak susu. Jadi, rajin-rajinkan mengurut payudara dengan menggunakan 4 jari dari arah atas ke arah puting. Lakukan sekeliling payudara, terutamanya ketika anda sedang mengepam atau menyusu bayi.

Anda juga boleh menggunakan sikat rambut yang bersih untuk membuat urutan dan menghilangkan ketulan-ketulan pada payudara.

3. GUNAKAN PAM
Jika susu terlalu penuh, gunakan pam sekali-sekala untuk mengeluarkan lebihan susu. Namun, pastikan anda mempunyai jadual mengepam yang konsisten.

Jangan keterlaluan dalam mengepam kerana ia boleh merangsang penghasilan susu yang berlebihan dan melebihi keperluan bayi hingga menyebabkan anda sering mengalami bengkak susu.

4. MENYUSUKAN BAYI DENGAN KERAP
Anda akan mendapati bayi sukar melekap dengan betul akibat puting yang terlalu tegang atau tenggelam. Seperkara lagi, bayi mungkin tidak mahu menyusu apabila anda mengalami bengkak susu akibat aliran susu yang terlalu laju.


Jadi, anda boleh cuba memerah keluar sedikit susu lebihan dengan menggunakan tangan. Dengan cara ini, bayi lebih mudah untuk menyusu seperti biasa.

Jangan lupa gilirkan payudara dan pastikan bayi turut menyusu pada waktu malam.

5. GUNAKAN BRA YANG SESUAI
Payudara yang terlalu penuh akan terasa berat dan boleh menyebabkan ibu berasa lenguh, bisa, dan letih yang luarbiasa.


Oleh itu, penggunaan bra yang sesuai amat penting bagi memastikan payudara anda disokong sepenuhnya oleh struktur bra menyusu yang baik.

6. AMBIL UBAT TAHAN SAKIT DENGAN NASIHAT DOKTOR
Jika anda tidak dapat menahan sakit, pastikan anda memberitahu doktor dan mendapatkan ubat dengan preskripsi dan dos yang selamat.

Sekiranya anda ada mengambil suplemen atau memakan jamu selepas berpantang, cuba hentikannya buat sementara kerana ia mungkin mengandungi ramuan yang merangsang penghasilan susu yang terlalu banyak.

CEPAT AMBIL TINDAKAN
Dalam sesetengah keadaan, bengkak susu boleh menyebabkan demam atau mastitis, iaitu jangkitan bakteria yang turut disebabkan oleh puting melecet atau puting tersumbat. Oleh itu, sekiranya anda mendapati payudara anda terlalu penuh, cepat-cepatlah pastikan agar anda mengambil salah satu tindakan di atas.

Seperkara lagi, jangan jadikan masalah bengkak susu sebagai penghalang untuk anda menyusukan bayi anda dengan kerap atau seperti biasa.

Sumber:cerita press

Facebook Comments