Riana AF Bangkit Dari Kegagalan Lalu

Pastinya ramai yang masih belum mengenali bakat baru yang lahir dari program realiti nyanyian popular, Akademi Fantasia 2016 yang juga pemilik nama sebenar Isyariana Che Azmi, 28 atau lebih glamor dengan panggilan Riana.

Penulis yang turut pertama kali bersua wajah dengan gadis kelahiran Pahang ini, begitu selesa dengan layanan baik yang diberikan oleh penyanyi dan pelakon yang wajahnya seiras dengan penyanyi terkenal Indonesia, Agnes Monica.

Walaupun rezekinya ketika menyertai AF2016 terkandas hanya setakat konsert minggu kelima namun Riana bersyukur sejurus selepas tamat program tersebut dia terus menerima tawaran berlakon.

“Semasa menyertai AF2016 memang saya agak terkilan kerana tidak dapat meneruskan persembahan kerana disingkirkan sebelum konsert kelima bermula. Namun segala yang berlaku ada hikmahnya.

Saya terus mendapat tawaran berlakon dari pengarah tersohor Michael Ang menerusi drama bersiri Urusan Hati Cik Drama Queen. Kemudian drama Cik Serba Tahu dan selepas itu saya meneruskan perjuangan dalam seni apabila ditawarkan kursus menerusi Pak Nil, On Air Talent selama enam bulan.

“Saya sangat beruntung sewaktu mengikuti kelas bersama Pak Nil saya diajar menjadi seorang pengacara, pelakon dan penari. Dalam sibuk mengikuti kelas tersebut saya juga turut berlakon drama sehingga sekarang. Saya bersyukur kerana rezeki dalam seni tidak pernah putus.

“Dalam tempoh dua tahun berlakon saya telah bawa banyak karakter dan paling saya berjaya watak antagonis. Sememangnya tidak dinafikan menerusi watak jahat akan menyerlahkan lakonan seseorang pelakon. Namun saya sebenarnya gemar dengan watak berata yang memerlukan saya mengalirkan air mata. Saya ni sebenarnya jenis yang tak suka menangis tapi bila bab berlakon terutamanya watak wanita yang ditindas saya akan menangis semahunya.

Malah menerusi watak sebegini saya cabar diri dengan menangis sepuas hati sehingga bengkak mata,” ungkap Riana yang kini lakonannya menerusi drama Lelaki Kiriman Tuhan sedang disiarkan di kaca TV.

Riana juga akui sememangnya fokus dalam sesuatu pekerjaan, contohnya apabila berlakon dia akan benar-benar menghayati watak yang diberikan dan akan menggunakan nama watak dan tak suka dipanggil nama sendiri sehingga penggambaran berakhir.

Seronok Bergandingan Dengan Artis Senior

Ditanya pelakon senior yang pernah bergandingan dengan dirinya, Riana terus tersenyum dan mengatakan semua pelakon yang digandingkan memberikan komitmen yang terbaik. 

“Saya bersyukur kerana setiap kali bergandingan dengan mereka banyak ilmu yang diturunkan kepada saya. Antara artis senior yang pernah saya bergandingan, Kartina Aziz, Datuk Jalaluddin Hassan, Safura, Liza Abdullah dan ramai lagi. Selepas drama Lelaki Kiriman Tuhan saya diberi peluang berlakon dalam telefilem yang berjudul, Izinkan Aku Menyayangimu. Dan saya juga bersyukur walaupun masih baru telah diberi peluang beraksi dalam filem, menerusi filem Warkah yang tamat penggambaran pada bulan Mei lalu,” akui Riana yang begitu meminati lakonan pelakon dari Turki Meryem Uzerli dan Ibu Fauziah Nawi.

Memandangkan baru dua tahun dalam industri, Riana menolak populariti bagi dirinya bakat diutamakan dan populariti itu jatuh nombor dua.

 

Mama Tak Kisah Siapa Pilihan Saya 

Menyentuh tentang perkahwinan, Riana menyatakan setakat ini masih belum ada jejaka yang menambat hatinya.

“Saya masih mencari dan mama pun tak paksa saya untuk berkahwin. Dari dulu sampai sekarang mama tak kisah dengan siapa pilihan saya. Malah jika jodoh saya ditakdirkan sesama artis, saya terima dengan reda,” akhiri Riana sambil tertawa.

Mahu Hasilkan Single

 Menyentuh tentang nyanyian pula, Riana akui dia sebenarnya mengutamakan nyanyian.

“Saya sebenarnya lebih mengutamakan nyanyian. Kalau ada rezeki untuk menghasilkan single baru insyaAllah saya mahu merancangnya betul-betul. Saya juga berharap dapat mengeluarkan single berentak balada. Saya mula menceburi dunia nyanyian sejak 2012. Malah, sempat menganggotai kumpulan duo, Hanarose, sekitar tahun 2014. Kumpulan itu dicetuskan oleh Cat Farish dan mendapat kerjasama syarikat Luncai Emas milik Datuk M Nasir. Sebelum serius menyanyi di Kuala Lumpur pada 2012, saya terlebih dulu mengasah bakat dengan menjayakan acara tertutup. Hanya selepas bertemu Cat Farish, saya kerap diundang menjadi penyanyi ganti gantian untuk kumpulan The Fabulous Cats, selama setahun.

“Dari situ, saya digabungkan dengan bekas peserta AF musim kesembilan, Nur Atiqah Shariffudin atau Eka Shariff, di bawah nama Hanarose. Kami muncul dengan single Girlfriend, selain beberapa lagu untuk filem. Antara runut bunyi yang kami nyanyikan ialah Deritaku untuk filem Selamat Pengantin Malam, Tiba Kini Waktunya bagi filem Coverina dan UFO filem Usin UFO 2016,” ujar Riana yang boleh menyanyikan semua genre lagu.

Suka Melekap Di Rumah

 Memandangkan jarang dapat meluangkan masa di rumah kerana sibuk dengan jadual penggambaran Riana menerangkan apabila habis penggambaran dia gemar duduk sendirian di ruang tamu rumah.

“Pada saya masa untuk diri sendiri sangat penting. Apabila ada masa saya sangat suka bergelimpangan sambil berehat di ruang tamu. Inilah paling nikmat. Sebabnya saya jenis yang tak suka berjalan-jalan dan lebih gemar duduk di rumah.

“Jika ada masa luang lagi saya akan ajak mama temankan saya pergi ke pusat beli belah. Setiap hari saya akan berhubung menerusi telefon dengan mama. Walaupun jarang berjumpa namun kami sentiasa whatsapp mama setiap apa yang saya lakukan.

“Mama ibarat rakan baik saya dan saya akan biasanya bila bercuti kami tidak rancang dan akan plan hanya di saat-saat akhir. Jadi kami hanya akan bercuti di dalam negara sahaja,” terang Riana yang sangat manja dengan ibunya.

Anak sulung dari dua beradik ini juga menyatakan adik kesayangannya juga mengikuti jejak langkahnya mahu menjadi seorang penyanyi.

 

 

 

 

Sumber

Facebook Comments