Touch n’ Go Lancar Sistem RFID Sepenuhnya di Semua Lebuh Raya Tahun Depan!

BERITA terkini lagi tergempar, Touch ‘n Go Sdn. Bhd. (Touch ‘n Go) bakal melancarkan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) kepada pengguna lebuh raya utama di Malaysia bermula September ini.

Jadi, Touch ‘n Go berbesar hari menjemput dan mengalu-alukan orang ramai yang berminat menggunakan sistem itu supaya mendaftarkan diri di laman web TouchnGo untuk mengambil bahagian dalam ujian perintis tambahan yang akan bermula 3 September nanti.

Hasil ujian perintis itu dapat membantu Touch ‘n Go dan pihak terbabit dalam menambah baik sebarang kelemahan dalam sistem RFID sedia ada sebelum dilancarkan sepenuhnya di seluruh lebuh raya Malaysia menjelang Januari 2019.

TIADA LAGI EJEN SAH PERANTI SMARTAG


Serentak itu juga, Touch ‘n Go tidak lagi menjual peranti SmartTAG di mana-mana ejen sah Touch ‘n Go bermula 8 Ogos 2018 (hari ini). Namun, peranti SmartTAG sedia ada masih boleh digunakan di semua lebuh raya. Pengguna lebuh raya juga boleh menggunakan kad Touch ‘n Go dan MyKad untuk pembayaran tol seperti biasa.

APAKAH RFID?

RFID ialah teknologi global yang sudah digunakan banyak negara maju seperti Amerika Syarikat, Argentina dan Taiwan untuk pembayaran tol secara elektronik. Sistem RFID menggunakan cip Frekuensi Radio yang terkandung dalam satu pelekat yang kemudian ditampal pada sesebuah kenderaan.

 

Pelekat itu adalah unik bagi sesebuah kenderaan dan akan dihubungkan kepada aplikasi eWallet Touch ‘n Go yang memberikan kemudahan kepada pengguna untuk memantau baki eWallet dan menambah nilai secara online menerusi perbankan Internet dan kad debit/kredit.

RFID turut menawarkan pilihan menambah nilai luar online, iaitu menerusi penggunaan nombor pin. Pelekat RFID itu pula bakal menggantikan peranan peranti SmartTAG sedia ada, sekali gus menghilangkan derita pengguna lebuh raya yang geram dengan tahap kualiti barang tersebut.

 

Senarai lebuh raya di Lembah Klang yang dilengkapi lorong RFID ialah seperti berikut:

1. Lebuhraya KL-Karak (KLK)
2. Lebuhraya Damansara –Puchong (LDP)
3. Lebuhraya Kemuning – Shah Alam (LKSA)
4. Lebuhraya Cheras-Kajang (Grand Saga)
5. Lebuhraya Grand Sepadu (Grand Sepadu)
6. Lebuhraya Shah Alam (KESAS)
7. Sistem Lingkaran Lebuhraya Kajang (SILK)
8. Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX)
9. Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE)
10. Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong (SMART)
11. Lebuhraya Pantai Baharu (NPE)
12. Lebuhraya Besraya (BESRAYA)
13. Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT)
14. Lebuhraya Kuala Lumpur – Kuala Selangor (LATAR)
15. Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH)
16. Lebuhraya Guthrie Koridor (GCE)

Sebarang maklumat lanjut mengenai RFID, dan pendaftaran pengguna fasa percubaan atau mana-mana produk Touch ‘n Go dan perkhidmatan bolehlah:

  • Layari laman web TouchnGo,
  • Follow @MyTouchnGo di Facebook dan Twitter
  • SMS TNG dan tekan HANTAR kepada 36266
  • E-mel [email protected]
  • Hubungi Touch ‘n Go Careline di talian 03-27148888