Bagi pinjam RM100, dapat ganjaran RM4500!

SEORANG pemuda dilimpahi rezeki yang tidak disangka-sangka hanya beberapa minit selepas meminjamkan wang kepada sahabatnya yang dalam kesusahan.

Zulhilmi A. Karim yang lebih mesra disapa Boy tidak berfikir panjang ketika rakannya meminta untuk meminjam RM100 kerana kesempitan wang.

“Boy, aku nak minta tolong sedikit boleh tak?

“Nak pinjam duit sedikit dalam RM100, poket habis kering bayar itu ini,” pinta rakannya itu kepadanya.

Tanpa banyak soal, Zulhilmi terus meminta nombor akaun bank rakannya yang ingin meminjam wang.

Tidak lama selepas itu, Zulhilmi menerima panggilan daripada seorang rakan lamanya yang menetap di luar negara, menyampaikan hasrat ingin memberi hadiah wang tunai RM4,500 selepas mendapat tahu rancangannya untuk mendirikan rumah tangga tidak lama lagi.

Kisah mengenai rezeki tidak diduga itu turut dikongsikan usahawan muda tersebut menerusi laman Facebook miliknya pada pagi Rabu.

Kata pemuda yang berasal dari Kuala Lumpur itu, dia terpaksa menolak tawaran berkenaan kerana nilai tersebut terlalu besar, namun rakannya tetap berkeras mahu ia menjadi hadiah sempena perkahwinannya yang akan berlangsung pada 11 April ini.

“Lepas je transfer duit kepada kawan yang nak pinjam tu, tiba-tiba kawan lama mesej tanya nak hadiah apa untuk majlis kahwin saya bulan depan.

“Dia offer nak bagi perabot rumah atau sewakan guest house untuk majlis pernikahan saya di Bangkok, Thailand.

“Banyak kali saya katakan tidak perlu itu semua, tapi dia merayu supaya saya menerimanya kerana ia akan membuatkan dia rasa gembira,” ujarnya kepada mStar Online.

Tambah pemuda berusia 30 tahun itu lagi, ini bukanlah kali pertama dia mengalami situasi rezeki luar biasa seperti itu.

Posting yang dimuat naik oleh Zulhilmi ke laman Facebook miliknya.

Sebelum ini, pemuda berkenaan pernah menerima komisen sebanyak RM800 daripada seorang pelanggan dari Timur Tengah selepas bersedekah RM5 kepada seorang pengemis di depan sebuah hotel di ibu negara.

Katanya, dia tidak pernah putus rezeki sejak mengamalkan sedekah atau membantu mereka yang dalam kesusahan.

“Kita ni jangan takut untuk bersedekah kerana Allah dah janji rezeki untuk semua hambanya.

“Bila kita hidup dengan bersedekah, walaupun kita bagi sedikit, rezeki akan sentiasa datang.

“Allah dan malaikat kenal orang yang suka bersedekah,” ujar Zulhilmi.

Zulhilmi gemar merantau untuk mengenali budaya masyarakat luar.

 

 

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! DTK

Sumber: mstar

Facebook Comments