Bermula dengan ‘menumpang’ di kafe stesen minyak, kini miliki empayar perniagaan sendiri

Dalam usia yang masih muda, kedua-duanya tidak asing lagi dalam industri reka bentuk dalaman. Bukan hasil kerja mereka sahaja yang dikagumi, malah perwatakan mereka yang menarik dan sentiasa berfikiran positif turut mempesonakan orang di sekeliling terutama pelanggan.

Lokman Hakim dan Rabiatul Adawiyah memulakan syarikat pembinaan dan reka bentuk dalaman, IDW Design & Build Sdn. Bhd. (IDW) pada 2007 ketika masing-masing berusia 21 tahun selepas menamatkan pengajian dalam Diploma Reka Bentuk Dalaman, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor.

Penubuhan syarikat itu yang kini beroperasi di Seksyen 7, Shah Alam tercetus apabila mereka ditawarkan membuat pengubahsuaian dan reka bentuk dalaman sebuah banglo dengan nilai projek berjumlah RM1.1 juta.

Projek pertama itulah yang menjadi titik permulaan karier mereka dalam membina empayar IDW seperti yang dapat dilihat pada hari ini.

Mengimbau semula perjalanan karier mereka, Lokman Hakim selaku Pengarah Urusan IDW berkata, ketika menerima projek pertama tersebut, beliau dan Rabiatul belum lagi berkahwin dan masih tidak mempunyai pejabat sendiri.

Dalam masa yang sama, mereka turut menerima tujuh projek lain berskala kecil.

Memandangkan belum mempunyai pejabat, mereka terpaksa menumpang kemudahan di restoran dan kafe 24 jam untuk menyiapkan projek tersebut.

Lokasi kegemaran kami ketika itu ialah sebuah stesen minyak berhampiran pintu masuk UiTM. Ini kerana di dalamnya ada kafe.

Jadi, dapatlah kami menggunakan kemudahan meja dan elektrik di situ dengan bermodalkan secawan kopi.

“Disebabkan terlalu kerap berada di kafe itu, pemilik stesen minyak menyindir dengan meminta kami bawa selimut dan tilam ke kafe itu,” imbau Lokman Hakim sambil tersenyum.

Bermula dari situ, bapa Lokman Hakim, Ahmad Subki Mat Rani memberi cadangan supaya menggunakan sebuah bilik di rumah mereka untuk dijadikan pejabat sementara.

Selepas tamat projek pertama yang mengambil masa selama setahun untuk disiapkan dan projek-projek lain dalam tempoh sama, mereka kemudian menyewa ruang pejabat di pusat komersial di Shah Alam dengan bermodalkan RM70,000 termasuk kos pengubahsuaian.

Pada waktu itu, bapa Rabiatul Adawiyah iaitu Rasol Abu bakar sering berkongsi ilmu mengenai pengurusan syarikat.

Namun, beliau dan Rabiatul Adawiyah berasakan pendapatan daripada kerja-kerja reka bentuk dalaman sahaja tidak memadai kerana tidak banyak projek diperoleh.

Oleh itu, mereka mengambil keputusan untuk menjalankan perniagaan percetakan dengan menyasarkan pelajar UiTM sebagai pelanggan utama.

Pada usia 23 tahun, mereka didatangi seorang pelanggan yang menawarkan projek reka bentuk dalaman kolej di Johor.

Projek seluas 80,000 kaki persegi itu berjaya disiapkan dalam tempoh setahun setengah dan merupakan projek pertama berskala besar hasil kerja tangan IDW.

Projek berkenaan mendapat perhatian banyak pihak termasuk majalah berkaitan reka bentuk dalaman sekali gus mengangkat nama IDW sebagai antara syarikat reka bentuk dalaman yang mula ‘menunjukkan taring’.

“Ketika dapat projek kolej itu, Rabiatul Adawiyah sedang melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana.

“Selepas beliau tamat belajar, saya pula sambung belajar program sarjana.

“Sepanjang menjalankan projek tersebut, jadual harian kami sangat padat,” katanya yang turut dibantu dua rakan kongsi lain ketika itu.

Beliau bersyukur apabila projek itu berjaya disiapkan dan menjadi batu loncatan yang mengangkat nama IDW.

Namun langit tidak selalunya cerah. Apa yang berlaku selepas itu tidak seperti diharapkan. Tiada lagi projek yang datang selepas pengubahsuaian kolej.

Perniagaan percetakan pula tidak banyak membantu untuk mereka meraih modal meneruskan operasi. Apabila tiba waktu cuti semester, maka jualan berkurangan.

Masing-masing pula ketika itu menerima tawaran menjadi pensyarah di UiTM, maka fokus pada perniagaan mula samar.

Pernah terfikir untuk mengembangkan perniagaan kepada cabang lain, namun tidak menjadi.

Dalam keadaan itu, Lokman Hakim dan Rabiatul Adawiyah mendirikan rumah tangga pada 2012 menggunakan baki simpanan.

Kedua-duanya meneruskan karier sebagai pensyarah dan dalam masa sama menanggung liabiliti syarikat yang tidak menunjukkan sebarang perkembangan.

Buntu melihat perniagaan yang tidak berkembang walaupun sudah tujuh tahun dalam industri, mereka memutuskan untuk mencari seorang mentor yang boleh membawa mereka keluar daripada masalah itu.

Pada 2016, mereka mula mengikuti bengkel-bengkel perniagaan dan keusahawanan yang dianjurkan pakar pemasaran dan perunding motivasi.

Dari situ, mereka mula mendapat gambaran jelas tentang hala tuju dan bagaimana hendak membina semula perniagaan yang diceburi selama ini.

“Selepas kami jumpa mentor, kami ikut nasihat dan proses yang disarankan beliau.

 

 

Antara sentuhan IDW

“Kami berhenti menjadi pensyarah dan memberi fokus sepenuhnya kepada syarikat.

Sebenarnya, apa sahaja yang kita buat, kita kena fokus. Kita harus buat pilihan, pilih yang kita betul-betul nak buat dan lakukannya sampai habis,” ujar Rabiatul.

Ternyata langkah yang diambil itu tepat. Sejak kembali fokus kepada perniagaan itu, perkembangan syarikat menjadi semakin agresif.

 

Sehingga kini, syarikat itu mempunyai seramai 15 orang kakitangan tetap sebagai pereka bentuk dalaman yang rata-ratanya merupakan pelajar kepada pasangan itu sewaktu mereka bergelar pensyarah.

Pasangan suami isteri itu juga berjaya mendapat akreditasi dan menjadi ahli berdaftar dengan Lembaga Arkitek Malaysia sekali gus melayakkan mereka bergelar pereka bentuk dalaman berstatus profesional.

Reputasi yang dibina telah menambat hati sebuah syarikat televisyen berbayar untuk bekerjasama dengan IDW dalam dua buah program mengenai reka bentuk dalaman sebanyak 13 dan 11 episod.

IDW juga telah diberi penghormatan oleh sebuah agensi kerajaan untuk melatih usahawan di bawah agensi tersebut mengenai keusahawanan supaya mereka lebih berdaya saing.

Terbaharu IDW telah dirisik oleh sebuah syarikat pemaju untuk mendapatkan 20 peratus ekuiti daripada syarikat itu.

Melalui kerjasama tersebut, IDW akan dipertanggungjawabkan untuk melakukan kerja-kerja reka bentuk dalaman bagi projek-projek yang dilakukan syarikat pemaju berkenaan.

“Dalam perniagaan, kita kena jelas hala tuju. Jangan itu kita nak buat, ini nak buat. Akhirnya yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

“Kita juga harus ada impian besar dan apabila berdoa, jangan kita hadkan permintaan mengikut kemampuan kita sahaja.

Tidak salah berdoa meminta sesuatu yang lebih besar kerana jika kita percaya dan berusaha, tidak mustahil Allah akan memakbulkannya,” ujarnya.