“Pinjam Hampir RM100 Untuk Teruskan Hidup Sementara Tunggu Gaji Masuk…” Isu Guna Duit Raya Anak

“Guna dululah duit raya anak, nanti gantilah…” 

Haaa… perkara ini selalu berlaku dalam masyarakat kita. Lagi dahsyat, ada yang menggunakan duit raya anak-anak untuk membeli sport rim, spoiler dan lain-lain. Agak-agak boleh ke guna duit raya anak-anak untuk kepentingan diri?

Sebenarnya tak baik kita sebagai ibu bapa ‘makan’ duit yang orang telah berikan kepada anak-anak kita. Kalau terlalu terdesak, kita gantikan semula. Jangan buat-buat lupa, bimbang di akhirat kelak kita akan ditanya kenapa tidak amanah.

Namun baru-baru ini tular pula kenyataan dari seorang guru, Mohd Fadli Salleh yang menulis isu ini dari sudut berbeza. Jangan kecam dulu, jemput baca dan berfikir sekejap. Kenapa kenyataan beliau sebaliknya…

Boleh Guna Tak Duit Raya Anak?

Ada beberapa status menyelar ibu bapa yang guna duit raya anak-anak untuk buat belanja sementara tunggu gaji. Haram kata mereka.

Lebih pedih, ayat menikam marahkan ibu bapa tak buat simpanan. Tak buat perancangan rapi sebelum dan selepas raya. Boros, tidak bertanggungjawab dan mengambil kesempatan pada anak sendiri mentang-mentang mereka kecil lagi.

Baik pakar kewangan, tabungan dan simpanan sekalian. Meh sini Cikgu Korea nak sekolahkan kau orang. Kau baca dan hadam baik-baik.

Kau sedap menulis, kau sedap berkata, kau sedap menyindir dan mengata sebab kau tak rasa. Itu point utama.

Kau punya income lebat, kau punya simpanan banyak, maka kau kutuk hina pula mereka yang pendapatan rendah serta tak punya tabungan dan simpanan macam kau. Ini sangat tak kena.

Kau bicara kau mampu beli rumah walau gaji baru 2500. Kau cerita kau mampu buat saving hingga seribu sebulan dan mampu rancang perbelanjaan dengan baik sempena raya.

Cuba Faham ‘Kotak Kasut’ Orang Lain

Perbandingan kau tak kena. Kau tak lihat dari kaca mata orang yang punya anak ramai, punya tanggungjawab besar pada orang tua, adik-beradik dan anak-anak. Belum cerita bab komitmen hutang lagi yang bertambun banyak.

Bukan semua orang berhutang untuk berjoli. Kebanyakan mereka korbankan duit gaji baiki rumah ibu bapa. Hantar mak ayah pergi haji. Tanggung adik-adik di kampung disamping jaga keluarga sendiri.

Maka usahkan nak menyimpan, nak survive setiap bulan pun satu cabaran.

Dan kau terus menyindir mereka. Sedangkan kau tidak merasa.

Musim raya ini, kau terus dengan sindiran untuk ibu bapa yang guna duit raya anak-anak pula. Kejam kata kau. Haram kata kau. Ibu bapa tak bertanggungjawab dan mengambil kesempatan pada kau.

Itu kau kata sebab kau tak rasa. Itu kau perli sebab kau tak lalui.

Aku sendiri secara peribadi pernah guna duit raya anak suatu ketika dahulu.

Isteri dan anak-anak lain ada di kampung. Duit belanja memang dah rancang, tapi perlu guna sedebuk untuk sesuatu hal luar jangkaan. Kes kecemasan yang tak boleh elak, maka habis segala duit yang ada.

Pinjam Duit Raya Anak Dulu

Mujur ada duit raya anak-anak kat rumah. Aku pinjam hampir RM100 untuk teruskan hidup sementara tunggu gaji seterusnya ganti balik.

Masa itu aku terfikir, bagaimana mereka yang punya anak 7-8 orang survive sementara tunggu gaji. Aku yang masa tu duduk membujang sebab isteri berpantang pun terasa peritnya bila sampai waktu tersepit.

Maka pada aku, boleh saja ibu bapa guna duit raya anak-anak. Nanti ganti la balik bila ada duit.

Nak meminjam merata, orang lain pun bukan ada duit juga. Yang ada pun tak berapa nak bagi. Paling penting, air muka sewaktu meminta itu umpama pengemis pula.

Kadang disindir dan diperli hanya kerana nak pinjam RM50. Hinanya rasa pada waktu itu hanya Tuhan yang tahu.

Ye lah. Kau mana tahu. Kau mungkin tak merasa itu semua. Kau kan bijak merancang perbelanjaan. Kau kan hebat menyimpan.

Aku tahu sebahagian mereka ini hebat dalam pengurusan kewangan. Maka kau kongsilah tips menabung, kongsi tips mengurus kewangan tanpa perlu perli dan hina mereka yang guna duit raya anak untuk teruskan kehidupan.

Banyak masalah yang mereka lalui kau tak pernah pun tahu. Kau tak pernah pun ambil peduli. Banyak kesakitan dan kesengsaraan kau tak pernah rasa.

Maka sangat tidak adil kau menghukum mereka hanya kerana mereka guna duit raya anak. Sangat tidak adil dan khianat!

Jangan menilai orang tanpa tahu kisah hidup mereka. Jangan!

Berkongsi saja tips yang kau tahu secara umum untuk manfaat semua. Berkongsi tips dan cara tanpa menyindir dan menyakiti sesiapa.

Apa Kata Hakak

Ya, boleh gunakan duit raya anak-anak sekiranya dalam keadaan terdesak seperti bekalan elektrik hendak dipotong sebab tak bayar. Yang mana masalah itu juga akan mendatangkan kemudaratan kepada anak-anak. Jadi boleh gunakan duit raya anak-anak untuk membayar bil elektrik. Cuma kenalah niat nak ganti balik, walau sikit-sikit.

Mak ayah kena lah bantu anak-anak menyimpan duit raya di akaun simpanan mereka. Bila dewasa kelak, bolehlah mereka gunakan duit simpanan itu untuk pendidikan, beli barang keperluan sekolah dan lain-lain.

 

 

 

Sumber: Mingguan Wanita

Facebook Comments