Tak Salah Nak Diet Lepas Bersalin Tapi Biarlah Anak Dapat Zat Dari Susu Badan Secukupnya. Ini Caranya

Lepas bersalin, jangan terlalu taksub untuk berdiet. Sanggup tidak ambil makanan yang betul, sedangkan anda menyusu badan. Jangan terlalu memikirkan diri sendiri, sedangkan bayi anda memerlukan makanan yang berkhasiat daripada susu ibu untuk dia membesar.

Kenapa perlu takut, bila berat badan tidak turun semasa dalam pantang. Sebenarnya, boleh sahaja anda berdiet tetapi kenalah dengan cara yang betul. Beberapa saranan yang diberikan oleh Alina Ita Azhar, Pakar Pemakanan untuk anda yang baru melahirkan anda dan ingin berdiet.

Diet Untuk Ibu Baru Bersalin, Sesuai Tak?

  • Memulakan diet atau ‘makan bersukat’ terlalu cepat selepas bersalin tidak digalakkan kerana ia boleh melambatkan pemulihan dan menyebabkan badan terasa lebih letih. Lagi pun, ibu menyusu, berdiet akan menjejaskan bekalan dan kualiti susu dari segi kandungan zat.
  • Perlu tahu, berat badan ibu sudah pun berkurangan apabila kelahiran bayi, termasuk berat bayi, uri atau plasenta serta kehilangan cecair amnion dan darah. Dalam jangka masa seminggu selepas bersalin atau pospartum, badan akan kehilangan cecair yang ada dalam badan.

Cara Betul Untuk Diet

  • Elakkan berdiet terlalu drastik. Fokus kepada makanan berserat tinggi yang boleh membekalkan vitamin, garam galian dan memberi kekenyangan seperti buah-buahan, sayur-sayuran, dan bijirin penuh. Keperluan kalori ibu menyusu lebih tinggi kerana lebih kurang 500 kalori digunakan untuk menghasilkan susu (Recommended Nutrient Intakes of Malaysia 2005). Oleh itu, makan hidangan yang kecil tetapi secara kerap dan makan snek yang sihat antara waktu makan utama.
  • Pilih makanan yang padat-nutrien (nutrient-dense) seperti susu dan produk tenusu, daging ayam dan ikan dan kekacang.
  • Minum segelas air setiap kali menyusukan bayi. Ini kerana, keperluan cecair dalam badan bertambah apabila menyusu. Oleh itu, minum air secukupnya sebanyak 8 hingga 10 gelas sehari.

Bila Boleh Diet Selepas Bersalin

Pada tempoh 6 bulan pertama, seseorang ibu dinasihatkan supaya tidak mengurangkan berat badan secara mendadak kerana tempoh ini penting untuk menggalakkan menyusu secara eksklusif.

 

Elakkan Perkara Ini Semasa Berdiet

  • Jangan melangkau waktu makan dan tidak menepati masa. Ini menggalakkan pengambilan makanan secara berlebihan pada waktu makan seterusnya dan menambahkan rasa lapar dan penat.
  • Hadkan pengambilan makanan yang tiada nilai zat.
  • Makanan yang padat-kalori (calorie-dense) secara lazimnya mengandungi gula dan lemak tepu yang tinggi. Pilih makanan yang rendah lemak dan tanpa gula tambahan serta buah-buahan segar dan makanan tinggi serat sebagai snek.
  • Kawal minuman berkafein kerana ia boleh beralih ke dalam susu ibu dari salur darah dan seterusnya ke bayi dan menyebabkan bayi resah dan tidur terganggu, Hadkan sebanyak dua hingga tiga cawan sehari adalah selamat tanpa menyebabkan perubahan kelakuan bayi.
  • Elak ambil suplemen herba dan tradisional seperti ginseng, teh herba atau ‘pelangsing’ dalam tempoh menyusu.

Tip Untuk Mulakan Diet

  • Menyusu, menyusu, dan menyusu
  • Menyusu memudahkan proses penurunan berat badan disebabkan penggunaan kalori sewaktu aktiviti menyusu itu sendiri.
  • Jenis makanan yang dipilih dapat membantu dan mendorong pengurangan berat badan secara berkesan.
  • Mulakan penurunan berat badan secara aktif selepas tamat tempoh menyusu. Gabungkan senaman aerobik yang ringan seperti berjalan, berbasikal statik atau berenang dan senaman Kegels untuk mengembalikan ketegangan otot dasar pelvik.

 

 

 

Sumber

Facebook Comments