Malaysia belum muflis untuk dapatkan derma rakyat

KUALA LUMPUR – Tidak pernah ada mana-mana negara di dunia ini yang terpaksa menubuhkan satu tabung untuk membantu kerajaan membayar hutang.

Lantaran itu, langkah Kerajaan Malaysia menubuhkan Tabung Harapan Malaysia merupakan satu tindakan yang boleh memberi pandangan yang teruk dalam menguruskan kewangan.

Pakar ekonomi, Tan Sri Ramon Navaratnam berkata, meskipun hutang negara tinggi tetapi ia belum dalam keadaan ‘begitu teruk’ hingga ada keperluan terdesak untuk mewujudkan tabung sumbangan rakyat.

Malah, Greece dan Zimbabwe yang berdepan dengan masalah hutang besar pun tidak meminta wang rakyat.

Jelasnya, hutang negara adalah tanggungjawab kerajaan untuk menanganinya dan bukan perlu dipikul oleh rakyat.

Walaupun ada rakyat yang bermurah hati untuk menderma tetapi logiknya berapa banyak wang yang dapat disumbang atau dikumpul.

Ini kerana, pada masa sama rakyat juga terpaksa mengambil langkah berjimat cermat kerana khuatir dengan ketidaktentuan kewangan negara yang diperbesar-besarkan.

“Kita tahu kerajaan ada hutang tetapi bukan pada tahap yang sangat teruk hingga Malaysia dalam keadaan terdesak untuk minta derma rakyat. Negara kita belum bankrap.

“Tetapi isu hutang negara ini diperbesarkan atas faktor-faktor politik.

“Saya masih percaya penilaian laporan kewangan Malaysia yang dibuat oleh Bank Dunia dan agensi-agensi penarafan, katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penubuhan Tabung Harapan Malaysia yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Bekas timbalan ketua setiausaha Kementerian Kewangan itu berkata, seandai benar hutang negara terlalu tinggi, Malaysia sepatutnya meminta nasihat daripada Bank Dunia, yang mempunyai cawangannya di sini.

Bank Dunia mempunyai cawangan operasinya di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia.

Navaratnam berkata, sepatutnya dalam menangani keadaan ini adalah lebih baik jika Kerajaan Pakatan Harapan fokus dalam menangani rasuah secara habis-habis, mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu dan elakkan pembaziran.

“Bukan menjadi politikus yang terlalu banyak politiking,” ujarnya.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng baru-baru ini menjelaskan hutang negara yang berjumlah RM1 trilion sehingga 31 Disember tahun lalu.

Katanya, hutang kerajaan persekutuan adalah RM686.8 bilion iaitu 50.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Hutang itu termasuk jaminan kerajaan kepada pelbagai entiti yang gagal untuk membayar hutangnya sebanyak RM199.1 bilion (14.6 peratus daripada KDNK).

Selain itu, angka tersebut membabitkan pelbagai pajakan untuk pelbagai projek awam swasta seperti pembinaan sekolah, balai polis, jalan raya serta lain-lain yang berjumlah RM201.4 bilion (14.9 peratus daripada KDNK).

Navaratnam berkata, angka hutang-hutang negra yang disenaraikan itu ada belum menjadi liabiliti. – MalaysiaGazette

 

 

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! DTK

Sumber: http://malaysiagazette.com/

Facebook Comments