“Minum kopi campur peluntur untuk demo, tiada niat lain”

PETALING JAYA: Selepas isu seorang wanita terpaksa dikejarkan ke hospital akibat meminum kopi yang dicampur dengan cecair peluntur kecoh di media sosial, pengasas kopi jenama Green 35 tampil mempertahankan produk tersebut.

Pertama sekali, pengasas produk terbabit menafikan perbuatan pihaknya mencampurkan produknya dengan bahan kimia itu boleh membawa maut.

Tegasnya, kopi Green 35 tidak mempunyai campuran bahan peluntur seperti yang didakwa sesetengah pihak.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelanggan dedah ‘rasa nak putus nyawa’ selepas minum kopi campur peluntur

Katanya, penggunaan cecair peluntur itu hanya untuk tujuan demonstrasi, sekali gus bermaksud ia tidak perlu dicampur dengan bahan tersebut sebelum diminum.

“Diingatkan, penggunaan peluntur tersebut hanyalah untuk menunjukkan cara kopi tersebut dapat meneutralkan racun.

“Bukan bermaksud perlu minum kopi campur C*****,” tulis pengasas itu di Facebook pada Ahad.


Kenyataan pengasas untuk mempertahankan produk keluaran syarikatnya. – Facebook

Tambahnya, kopi Green 35 tersebut adalah campuran herba hutan yang tidak mengandungi bahan terlarang.

Berhubung isu pelanggan yang mengalami sesak nafas selepas minum kopi tersebut yang dicampur dengan cecair peluntur pula, pengasas jenama berkenaan juga menafikan ia ada kaitan dengan produk keluarannya.

“Mengenai isu yang berkaitan, itu bukan disebabkan meminum kopi tersebut.

“Semasa demostrasi juga, diterangkan cara minum kopi, informasi mengenai produk dan cara minum yang betul,” katanya.

Siti Hajar memegang kotak kopi Green 35 sebelum mengalami sesak nafas.

Pada Jumaat, mStar Online melaporkan seorang wanita terpaksa dimasukkan ke hospital akibat sesak nafas gara-gara terpedaya dengan keberkesanan kopi yang didakwa dapat menyembuhkan pelbagai penyakit sekali pun diminum bersama cecair peluntur.

Ibu kepada empat cahaya mata itu bukan sahaja mempertaruhkan nyawanya, malah nyawa anaknya yang berusia lapan tahun apabila diminta oleh seorang peniaga untuk berbuat demikian.

Siti Hajar Abdullah, 30, yang berasal dari Gua Musang, Kelantan berkata, dia tidak mengetahui bahawa tindakan tersebut berbahaya kerana mendakwa dia hanyalah orang kampung.

Sementara itu, usaha mStar Online untuk mendapatkan komen lanjut daripada pengasas kopi tersebut belum berhasil.

Sumber :mstar

Facebook Comments