Tak mahu susahkan ibu, dua beradik rela duduk rumah kebajikan

BALING – Dua beradik kematian ayah dua bulan lalu akibat strok otak rela ditempatkan di pertubuhan kebajikan kerana tidak mahu menyusahkan ibu mereka.

Nur Asma Fatihah R Azmi, 9 dan Nur Syahira Ilya, 12, dari Kampung Besah memilih untuk ditempatkan di Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim dan Miskin Nurul Hidayah di Kampung Sadek, Kupang bagi meneruskan pengajian mereka pada tahun depan.

Ibu, Lailawati Che Ahmad, 34, berkata, dua daripada lima beradik itu menerima keputusan untuk ditempatkan di pusat tersebut dengan hati terbuka.

Menurutnya, keputusan itu terpaksa dibuat kerana dia tidak sanggup melihat pengajian anak-anaknya terabai.

“Bukan senang nak sara anak-anak tanpa pekerjaan, suami (R Azmi Md Desa) yang jadi tempat bergantung pun dah pi buat selamanya.

“Jadi selepas berbincang, dua daripadanya bersetuju untuk tinggal di pusat jagaan. Cuma kakak sulung masih tak sanggup berjauhan bersama anak berumur empat dan setahun tinggal dengan saya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Miskin Nur Hidayah, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Miskin, Mohamad Bakre Yaakop berkata, pihaknya akan menanggung sepenuhnya pengajian dua beradik tersebut.

Sumber:Sinar Harian

Facebook Comments