“Inilah Kunci Untuk Mengajar Anak Disleksia…”

Anak disleksia amat sensitif. Jika dimarah, mereka akan menunjukkan sikap negatif dan menjadi nakal. Tetapi ini bukan bermakna anak disleksia ini tidak ada masa depan.

Dan juga antara soalan yang ditembak kepada Pengarah Akedemi Genius World Solution, Puan Ainizal Abdul Latif, jemput renungkan…

“Puan, masih adakah harapan untuk anak disleksia saya di masa depan..?”

Selain bergelumang dengan anak-anak autisme, hidup saya juga dikelilingi dengan anak-anak yang di diagnos dengan isu disleksia, disgrafia, diskalkulia dan dispraksia.

Ada pelajar disleksia yang agak lama belajar dengan saya. Lebih kurang 3 tahun lebih. Pada awalnya, ibu bapanya tidak dapat mengenal pasti isunya, sehinggalah saya lihat banyak ciri disleksia yang ada padanya dan saya minta mereka dapatkan pengesahan dari doktor.

Kondisi disleksia nya tidaklah begitu kritikal, tapi perlu dibantu. Hari pertama saya mengajarnya, dia sudah boleh menulis tetapi tulisannya agak buruk, huruf besar dan kecil bercampur, perkataan bersambung tanpa jarak, ejaan sering salah walaupun hanya menyalin dan tidak tahu membina ayat.

Dia juga mempunyai isu-isu lain seperti sukar memahami soalan yang panjang, tidak matang dalam komunikasi serta cepat penat dan bosan apabila melakukan latihan serta aktiviti yang berkaitan pembelajaran.

Tahun ini dia bakal menduduki UPSR. Alhamdulillah hari ini dia bukan sahaja dia sudah mampu membina ayat, malah sudah mampu menulis karangan. Sudah pandai berborak dan mempunyai idea yang semakin berkembang berbanding sebelum ini.

Mak Ayah Kena Sabar Dan Doa

Semuanya atas izin Allah. Namun, asbab kepada nya ialah PENGULANGAN, SABAR dan DOA. Selain itu, mereka perlukan PERHATIAN dan PENDEKATAN yang bersesuaian dengan cabaran mereka. Inilah kunci untuk mengajar anak-anak disleksia.

Saya lihat dari pengalaman saya sendiri, ramai anak-anak disleksia yang dapat di ubah keadaannya apabila mendapat bantuan yang betul. Cuma, apabila ramai ibu bapa yang bertanya,

“Pada umur berapa yang kita dapat lihat anak ini betul-betul nampak perubahannya?”

Jawapan Saya…

“Saya tiada jawapan spesifik. Hanya Allah yang tahu masa dan saatnya. Cepat atau lambat ia sangat bergantung kepada izin Allah, dan kunci yang saya sebutkan tadi. Pengulangan, perhatian, pendekatan yang betul, sabar dan doa.

Tapi antara semua kunci tersebut, KESABARAN adalah perkara pokok yang menjadi tunjang berfungsinya kunci-kunci yang lain untuk membuka jalan.

Tanpa SABAR, tak mungkin kita mampu mengulang pembelajaran yang sama berulangkali, tak mungkin dapat memberi perhatian 200%, tak mungkin berusaha mencari pendekatan yang sesuai, dan tak mungkin mampu terus berdoa lagi dan lagi kepada Allah yang mengizinkan perubahan itu terjadi.”

Sabar itu bukan sekadar ungkapan, sebaliknya perlu dilalui dengan proses yang berterusan. Orang yang mempunyai kesabaran yang tinggi mampu menghadapi apa sahaja ujian dan rintangan.

Jadi, ibu bapa yang dikurniakan anak-anak yang bercabaran dengan disleksia, mungkin ada sesuatu ganjaran yang Allah mahu berikan kepada kita, asbab dari kesabaran kita mendidik mereka.

Namun jika kesabaran sudah kuat ditunjangkan, hanya perubahan yang sangat minimal anak-anak mampu tunjukkan, belajarlah pula untuk REDHA dan berlapang dada untuk mengelakkan kita tertekan.

Yang menjadikan kita tertekan, kadangkala kerana kerana kita terlalu mengikut piawaian yang di cipta manusia. Anak yang berguna itu ialah anak yang bijak serba serbinya. Sedang menurut piawaian Allah, anak yang berguna itu ialah yang mampu mengangkat doa ketika jasad kita sudah terpisah dari nyawa.

Lihat Sudut Kelebihan Anak

Yang penting, persiapkan akhirat mereka dan akhirat kita melalui mereka. Pastikan mereka mampu menguasai 3M ( membaca, mengira, dan menulis) sebaiknya. Kemudian, lihat kelebihan lain mereka bukan hanya sisi akademiknya sahaja.

Tugas kita berusaha, nilai akhirnya Allah punya kuasa. Kerana pahala dikira bukan daripada hasil, sebaliknya dari bagaimana proses itu kita lalui nya. Jika di rezekikan mereka dapat berubah, ransang mereka sebaiknya.

Namun jika tidak, beri motivasi kepada mereka, kejayaan bukan melalui akademik sahaja. Allah memberi rezeki dari pelbagai sumber dan cara.

Janganlah di risau masa depan rezeki mereka. Yakinlah setiap dari kita sudah di tentukan rezekinya oleh Allah. Yang perlu kita risaukan cukup sabarkah kita memikul amanah yang Allah sudah tentukan untuk kita, jangan gadaikan pahala dengan dosa hanya kerana kurang bersyukur nya kita.

 

 

Sumber:MW

Facebook Comments