Patutlah Ada Isteri Cukup Malas Nak Sidai Baju!

Biasanya mak-mak cukup rajin basuh kain tetapi sampai bab sidai kain, terus tergendala. Lagi teruk kalau kain baju tak berlipat sampai nak pakai baju pun kena menggali!

Agaknya apa masalah kaum mak-mak ini ya? Mungkin ramai encik suami di luar sana tak tahu dan menuduh kaum perempuan malas.

Haaa… jangan terus kritik kerja kaum mak-mak ya, sepatutnya suami tahu apa punca yang menyebabkan perempuan jadi malas nak sidai kain. Nak tahu jawapannya, cuba renungkan kejap perkongsian daripada emak anak empat, Puan Khairunnisa Hamzah yang cukup padu dan tepat!

Kenapa isteri rasa malas nak sidai baju?

“Kenapa tidak bersidai lagi baju-baju ini? Sidai lah dulu”

Si suami mengeluh tatkala melalui lorong belakang rumah yang menempatkan mesin basuh pakaian. Banyak dah baju di basuh, berbakul-bakul. Tetapi sidainya tidak lagi.

Masa ini, si isteri akan menjawab dengan macam-macam alasan. Lagi pula dia sedang memasak di dapur. Habis dah berpeluh satu badan dek kerana bersilat menggoreng mee.

Lengan baju digulung sampai ke bahu. Baju pun sudah diikat ke pinggang. Penat memasak tak habis lagi.

“Hah, sudah siap menggoreng dah pun. Sidai lah baju kejap sementara budak-budak tengah bersiap tu” kata suami tidak habis-habis menggesa si isteri selesaikan menyidai pakaian di luar sana juga. Tolongnya tidak pula.

“Kejap lah bang. Saya penat ni. Berpeluh” si isteri mahu berehat.

“Alang-alang sudah berpeluh tu, pergi lah sidai baju. Biar semua peluh keluar. Exercise !” kata si suami melawak yang tidak pun kelakar. Bunyinya lebih kepada mengarah di telinga si isteri.

Inilah Punca Utama Perempuan Berkira Nak Sidai Baju

Kenapa isteri rasa malas hendak mengikut kata suami ketika itu? Pasti bersebab, kan?

Tak juga si isteri gerak.
Tak kuasa pula dia hendak menjawab.
Si isteri lagi sanggup dilabel malas saja.
Biarlah!

Apa tidaknya. Rupa-rupanya, punca sebenar hanyalah satu saja. Iaitu masalah penjagaan “AURAT”.

Agaknya si suami faham atau tidak yang bahawa setiap kali si isteri hendak keluar menjemur baju, dia perlu memakai :

Baju labuh
Seluar labuh
Menutup pergelangan tangan
Memakai stoking
Pakai anak tudung
Pakai tudung labuh menutup dada?

Atau ada hukum yang mengatakan di laman rumah ini semua dikecualikan?

Kalau lah boleh keluar begitu saja tanpa pakai semua itu, pasti sambil menggoreng tadi si isteri sudah boleh menyidai juga. Perempuan kan boleh buat banyak kerja dalam satu masa. Tapi saat itu, si isterinya sudah berpeluh sakan.

Kemudian, hendak di sarung segala kelengkapan. Bilik pula jauh di tingkat atas untuk ambil pakaian. Mana tidak malas jadinya si isteri bila mengenang kudrat yang diperlukan untuk completekan segala kelengkapan pakaian di seluruh tubuh badan.

Dari hujung rambut hingga ke hujung kaki pula itu perlu ditutupkan. Tiada yang terkecuali melainkan muka dan tapak tangan!
Belakang rumah, sudah sah-sah ada Pak Leman dengan 3 orang anak lelakinya. Rajin pula pagi-pagi berkebun di belakang rumah.

Kiri kanan rumah semuanya ada orang lelaki.

Lainlah kalau kita hidup jauh di tengah hutan. Bertahun-tahun, sekalipun tidak ada manusia yang masuk datang berjiran. Hah, itu mungkinlah boleh si isteri menyelinap keluar menyidai perlahan-lahan.

Boleh saja si isteri pakai ala kadar untuk menyidai pakaian.

Dan hakikatnya begitulah orang kita. Duduk di bandar atau di kampung, dibuatnya macam duduk tengah hutan atau tinggi di atas gunung Everest sana. Konon tiada yang nampak masa keluar menyidai.

Wahai suami
Wahai ayah

Anak bini kita keluar dengan hanya meletakkan tuala di atas kepala. Namun, rambut masih terjuntai jua. Tak tahu pula di mana usaha menutup auratnya. Masa ini dada gebu ternampak jua.

Astaghfirullah!
Perasan kah kita?

Ini semua akan jadi bebanan untuk ke syurga. Setiap aurat yang ternampak oleh yang bukan Mahram isteri dan anak dara kita, akan dihitung dosanya. Hatta seurat rambut yang ternampak itu juga akan membawa dosa. Apatah lagi yang lain-lainnya.Kain batik pendek terselak nampak betis tidak sengaja. Masa menyidai pula terangkat lengan di sini sana. Lalu terbongkok menonggeng pula tatkala mahu mengambil baju di baldi.

sidai baju

Apa yang orang luar nampak pada isteri atau anak dara kita?

Ya Allah!
Nauzubillah.
Astaghfirullah.

Kesian lah pada si isteri. Kesian juga pada anak dara kita kalau dia pun kena keluar menjemur pakaian juga.

Jangan tidak percaya pula jikalau dalam diam-diam, ada yang memeram rasa. Ada yang menyimpan rindu dendam sebab selalu skodeng isteri dan anak kita menyidai pakaian di luar sana.

Oh, Ngeri!
Ini bukan hal kecil lagi.
Ini isu besar yang selama ini di kecil-kecilkan.

Dekorlah!
Uruskanlah ruang pengurusan pakaian keluargamu.

Wujudkanlah penghadang dinding, tirai mahupun apa saja dekorasi yang boleh dilakukan, asal dapat menutup pandangan mata liar orang sekeliling.

Kali ni, dekor bukan kerana mahu cantikkan taman agar terhias di luar rumah. Tetapi ia wujud kerana mahu memelihara aurat ahli keluarga sendiri.

Bukan itu saja.
Ia juga mampu menutup pandangan orang luar dari rupa pakaian satu keluarga.
Kerana, jika menyidai secara terbuka, maka nampaklah setiap pakaian seisi keluarga. Orang mungkin dapat meneka itu baju tidur siapa. Itu pula pakaian dalam siapa.

Nauzubillah.

Elakkan fitnah.
Wujudkan tabir.
Patahkan pandangan.

Aurat keluarga kita, kita yang jaga.

Sama ada ruang menyidai pakaian diuruskan di dalam rumah saja, pakai mesin pengering atau kita boleh usaha membuat laman rahsia keluarga kita, itu adalah satu usaha yang sangat dimuliakan oleh Allah swt. Kerana buatnya bersebab. Demi menjaga aurat yang tersayang.

Hadanglah pandangan luar dengan tembok batu.
Boleh juga dengan tabir kayu.

Tak pun buatlah taman rahsia yang menutupi lamanmu dengan pokok besar disekelilingnya.

“Sayang, jom lah makan goreng pisang panas yang abang beli ni hah” ajak si suami yang sedang makan goreng pisang panas sambil melihat isterinya menyidai pakaian.

Sambil itu dapatlah menikmati angin luar yang bertiup lembut sehingga masuk ke ruang tertutup mereka.

“Saya suka lah sidai baju sekarang ni bang. Tak payah saya hendak kena pakai tutup seluruh badan masa hendak menyidai. Eh, bagi satu goreng pisang tu” si isteri minta disuap satu goreng pisang ke mulutnya.

“Lah, tinggi tembok dia naikkan dah tu, abah” kata anak sulung Pak Leman sambil memuncungkan mulutnya menunjuk ke arah rumah belakangnya.

“Dah tu kenapa? Kecewa lah tu tak dapat skodeng lagi anak dara dia menyidai pakaian kan? Macam abah tak tahu!” kata Pak Leman. Jauh dalam sudut hati, dia juga agak kecewa. Semuanya sudah tidak lagi terhidang depan mata. Laman jiran belakang dah jadi laman rahsia.

Duhai suami,
peliharalah aurat ahli keluargamu.

Apabila kau mengambil berat akan hal ini, pasti kau akan berusaha melaksanakan satu cara. Yang pasti, dengan niat kau untuk memelihara, pasti Allah akan mudahkan cara.

Tatkala itu juga kedamaian terasa. Rumahmu tidak lagi membuatkan anak isterimu terseksa. Melangkah mereka dengan aman sentosa.

Kini tembok yang dibina menjadi dekor luar biasa! Lagi elok ia menjadi ikutan jiran tetangga. Kau juga dapat pahala kerana memulakannya.

 Wanita.

 

Sumber

Facebook Comments