Wanita Ini Jelaskan Mengapa Memilih Aktiviti Mendaki Sebagai Hobi. Antaranya Ia Mampu Menurunkan Berat Badan!

Minatnya yang mendalam dalam mendaki bukit dan gunung bukan sekadar ‘hangat-hangat tahi ayam’. Malah Siti Nadzirah Mohamad Hata, 29 juga telah menyenaraikan 100 tempat yang perlu dilawati sebelum ‘menutup mata’.

Sangat meminati mendaki bukit dan gunung, setiap lokasi yang sudah dijejaki akan ditanda agar menjadi sumber motivasi kepada dirinya dalam mencapai impiannya itu.

“Aktiviti hiking memberi kepuasan kepada diri saya. Malah selepas berjaya mendaki bukit atau gunung pelbagai perkongsian tentang lokasi dan pemandangan memukau dapat saya coretkan di dalam blog saya.

Tak hairanlah jika semua orang pun nak pergi hiking sekarang ni, semata-mata untuk nikmati sendiri panorama indah alam dengan mata kasar.

“Saya sangat bersyukur kerana antara 100 hajat yang saya impikan sudah beberapa tempat yang berjaya saya kunjungi.

Antaranya impian untuk mendaki Banjaran Himalaya ‘Walking The Himalaya’ tercapai. Saya juga sudah ke Annapurna Base Camp, mendaki gunung tertinggi di Asia Tenggara iaitu Gunung Kinabalu, Gunung Berapi Tertinggi Indonesia, Puncak Indrapura di Gunung Kerinci, Gunung Berapi Tertinggi di Lombok dan Puncak Dewi Anjani (Gunung Rinjani),” ujar Siti Nadzirah membuka bicara.

 

Ditanya sewaktu menyenaraikan impiannya itu, adakah dia berasa impiannya itu tidak masuk akal? Lantas Siti Nadzirah terus tersenyum dan akui mencabar dirinya sendiri untuk memastikan impiannya itu direalisasi.

“Memang pada awalnya impian saya ini nampak macam tak logik. Tapi saya suka cabar diri saya sendiri. Dan tidak mahu hanya duduk di zon selesa. Saya berazam penuhi impian ini segera dan jadikan aktiviti riadah yang lasak bagi memenuhi masa lapang.

Mereka yang mahu tanam azam seperti saya, cuma saya dapat nasihatkan jangan mudah berputus asa. Saya juga berharap saya dapat memberi inspirasi kepada anak-anak muda di luar sana supaya jangan takut untuk bermimpi dan berusaha sunguh-sungguh untuk mencapai impian itu,” tambah Siti Nadzirah lagi.

 

Cari Pengalaman & Luaskan Pergaulan

Minat bermula selepas tamat belajar dan kemudian bekerja sebagai Penguasa Kastam di Jabatan Kastam, Bahagian Penguatkuasaan Kota Bharu. Selepas bekerja Siti Nadzirah mengumpul wang bagi merealisasikan impiannya itu.

“Rasa teringin nak cuba benda-benda baru yang tak pernah saya lakukan sebelum ini. Dengan aktiviti ini juga saya dapat mencari peluang pengalaman dan meluaskan pergaulan.

Minat saya bermula selepas saya habis belajar, bila dah kerja saya kumpul duit untuk pergi melancong dan mendaki di dalam dan luar negara.

“Jika tidak melancong saya akan mendaki ke bukit atau berjongging di taman berdekatan dengan rumah. Dengan berjogging dapat menambahkan stamina dan dengan bermula mendaki bukit yang rendah juga dapat membantu menguatkan kecergasan badan,” ulas Siti Nadzirah.

Menerusi aktiviti mendaki juga wanita ini mampu menurukan berat badannya dari 70 kg kepada 64 kg. Malah Siti Nadzirah juga menerangkan dengan mendaki dia perlu tampil lebih cergas dan berstamina.

“Sewaktu mendaki sememangnya berat badan saya akan turun contohnya semasa berada di Nepal tekak saya tidak kena dengan makanan di sana. Jadi bila pulang memang berat badan saya akan berkurangan.

“Sebelum pergi mendaki ke gunung yang tinggi anda perlu mencuba gunung-gunung di dalam negara dulu. Sememangnya aktiviti sebegini sangat berbaloi kerana dapat menyihatkan badan. Malah badan akan lebih cergas selain dapat menikmati alam semulajadi, air terjun yang sangat cantik dengan pemandangan puncak gunung yang sangat indah.

Lebih mendekatkan diri kepada Allah yang Maha Pencipta. Saya juga berasa sangat kagum apabila dapat melihat gunung ganang dengan awam karpet dan paling seronok dapat tengok gunung berapi yang tengah meeldak dengan asap berkepul-kepul semasa saya di Gunung Bromo dan Gunung Kerinci,” terang Siti Nadzirah yang sangat gembira apabila dapat melancong dan mendaki ke gunung-gunung yang cantik di dunia ini.

Pemakanan Seimbang 

Selain mengamalkan aktiviti kecergasan Siti Nadzirah juga mengamalkan pemakanan diet seimbang. Malah dia juga menasihati agar banyakkan meminum air masak.

“Ya sememangnya saya mengamalkan pengambilan makanan seimbang. Saya ambil segenggam nasi dan banyakkan karbo. Paling bagus sudah tentu banyakkan air masak untuk kekal hidrat dan kurangkan gula dalam makanan dan juga manisan.

“Salah satu aspek utama dalam pemakanan seimbang ialah perlulah mengambil makanan dalam kuantiti yang kecil tetapi cukup khasiat yang diperlukan oleh badan.

Pengawalan pemakanan sebegini menjadikan seseorang itu mudah untuk menjalankan pelbagai aktiviti terutama aktiviti senaman yang mampu menyihatkan badan. Oleh itu, obesiti mampu diatasi jika seseorang itu mempunyai diet pemakanan seimbang dalam hidupnya,” akhiri Siti Nadzirah.

 

 

Sumber

Facebook Comments