Selebriti dan anak syurga mereka

MEMILIKI anak istimewa yang kurang sempurna adalah kurniaan Illahi yang tidak boleh disangkal. Tiada siapa yang mahukan anak yang kurang sempurna, namun semuanya sudah tertulis di Luth Mahfuz.

Tidak terkecuali dengan beberapa selebriti terkenal yang mempunyai anak-anak autisme, mereka menganggap kehadiran anak-anak itu membawa rezeki.

Mereka tidak pernah mengenepikan bahkan menyayangi anak-anak itu sepertimana anak-anak yang lain. Selebriti terkenal itu juga tidak pernah segan memberitahu kepada dunia bahawa mereka punya anak istimewa itu. Jom baca kisah mereka!

1) Khairy Jamaludin
Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar atau KJ mempunyai seorang anak autisme yang bernama Timor Abdullah, 9 tahun. Beliau memanggil anak keduanya itu dengan gelaran Puma. KJ dan isteri sentiasa memberi sokongan kepada pergerakan autisme di negara ini. Mereka juga membuka sebuah gimnasium We Rock The Spectrum Kids di Evolve Concept Mall, Ara Damansara dan berkolaborasi bersama Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom) untuk aktiviti berkenaan.

Hasil perkahwinan dengan anak kepada Perdana Menteri keempat, Nori Tun Abdullah pada 2001, mereka dikurniakan tiga cahaya mata, dua daripanya bernama Jibreil Ali, 12 dan Raif Leo Averroes, 5.


2) Edry Abdul Halim (KRU)
Komposer terkemuka dan anggota kumpulan KRU, Edry Abdul Halim, 42, memiliki seorang anak istimewa yang dilahirkan autisme yang bernama Emery yang kini berusia 12 tahun.

Dia dan isteri membuat keputusan berhijrah ke luar negara bagi mendapatkan pembelajaran terbaik buat anak ketiganya itu.
Edry mendirikan rumah tangga dengan Milia Mohamad pada November 1999 dan dikurniakan empat cahayamata, tiga daripadanya adalah Emil, Edylia dan Elya.

3) Catriona Ross
Pelakon atau pengacara jelita, Catriona Norhayati Ross Bahrin Ross, 39, mempunyai seorang anak autisme, Jammal Raess Ross-Iddin yang kini berusia empat tahun. Dia gigih dan tabah menguruskan anak keduanya itu yang didiagnosis dengan gangguan Spektrum Autistik (Autism Spectrum Disorder-ASD).

Dia sentiasa memuatnaik gambar bersama anaknya itu di laman sosial dan tidak pernah rasa malu mempunyai anak istimewa berkenaan.
Hasil perkahwinannya dengan Shaharuddin Mokhtaruddin, mereka dikurniakan tiga cahayamata, dua daripadanya Sephia Rania, 8, dan Edruce Riyadh, 3.

4) Zarina Zainuddin
Selebriti jelita ini mempunyai cahayamata kembar Muhammad Razil Azrai atau Azil dan Muhammad Raizal Azrai, 23. Kedua-duanya mengalami autisme.
Pelakon drama Sumpahan Berdarah itu sentiasa memuatnaik video ragam dan aktiviti kedua-dua anaknya itu di laman sosial Instagram.
Meskipun salah seorang anaknya, Azil kerap mengamuk dia dilhat seorang ibu yang pandai menguruskan keadaan.
 
Meskipun pernah dipukul Azil, dia tetap sabar dan menyayangi anak istimewanya itu. Dia menyedari kedua-dua anak kembarnya itu mempunyai masalah Autisme selepas tiga tahun dilahirkan.
Hasil perkahwinannya dengan Datuk Seri Dr Abdul Raihan Wan Jaafar, mereka dikurniakan empat cahayamata yang kesemuanya lelaki. Dua daripadanya adalah Muhammad Naim Azraidan, 16, dan Muhammad Adam Azrai, 13 tahun.

 

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! DTK
Sumber:sinarharian