Gara-gara Sujud Syukur Hafizh Syahrin, Pengulas Sukan Ini Minta Maaf Atas Keterlanjuran Kata

PETALING JAYA: Acara perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia ternyata menarik perhatian ramai sehingga menjadi topik perbualan utama di media sosial.

Ia gara-gara keterlanjuran kata pengulas bertugas yang tersilap menyebut sujud sahwi sewaktu pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah melakukan sujud syukur sejurus berakhirnya perlumbaan.

Pengulas Radio Televisyen Malaysia (RTM), Rasdi Jumaat ketika dihubungi mStar Online mengakui sedar kesilapannya itu yang dilakukan sewaktu siaran langsung, Ahad lalu.

“Ia berlaku secara spontan, masa mengulas tu pengulas kena peka dengan banyak benda. Arahan penerbit, ulasan Inggeris, suara rakan sebelah lagi.

“Tambahan pula mengulas sukan melibatkan kelajuan. Saya akui ‘slip tongue’ pada hari itu dan saya mohon maaf.

“Kadang-kadang orang tak tahu persekitaran sewaktu kita mengulas, bekerja dalam tempoh lama. Nak cakap benda lain tapi terkeluar ayat lain,” katanya pada Selasa.

Menurut Rasdi, dia sedar mengenai penularan video melibatkan kesilapannya tempoh hari di laman sosial.

Ujar pengulas yang memiliki hampir 10 tahun pengalaman itu, dia juga sudah menjangka mengenai perkara itu.

“Memang saya dah jangka, apa agaknya reaksi peminat sukan. Bila berlaku satu kesilapan, memang meletup.

“Tapi Alhamdulillah juga sebab ramai yang menonton dan peka dengan perkara itu. Saya tak ambil hati,” katanya lagi.

Sementara itu, video ulasan ‘sujud sahwi’ itu mula ditularkan netizen sejak Ahad lalu menerusi beberapa platform seperti Twitter, Facebook dan Instagram.

Malah, rata-rata netizen turut menyifatkan kesilapan itu sebagai sesuatu yang menghiburkan dan bukanlah kesilapan besar.

Selain sukan permotoran, Rasdi juga aktif mengulas sukan-sukan lain seperti sepak takraw.

Dalam perlumbaan Ahad lalu, pelumba negara, Hafiz Syahrin menamatkan perlumbaan di tangga ke-10.

Acara berlangsung di Litar Sepang itu turut disertai pelumba terkenal dari Itali, Franco Morbidelli.

Insiden ini juga turut mendapat perhatian dari PU Rahmat Ikhsan melalui Twitter.

Kredit Twitter @pu_rahmat

 

Apa itu Sujud Syukur?

Sujud Syukur ialah sujud yang dilakukan untuk menyatakan rasa terima kasih atas nikmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala, juga sujud apabila mendengar atau melihat berita yang menggembirakan dan terselamat atau terlepas dari malapetaka / bala bencana.

 

CARA SUJUD SYUKUR
Rukun sujud syukur adalah seperti berikut:

1. Niat

2. Takbiratul Ihram

3. Sujud (sekali sahaja)

4. Bangun daripada sujud (duduk) dan memberi salam

Kita dibolehkan membaca sahaja yang bacaan yang selalu dibaca waktu sujud dalam solat, atau cukup sekadar mengucapkan “Alhamdulillah”.

“Ini berpandukan kepada Imam Shaukani yang berkata: Dalam Sujud Syukur tidak terdapat sebuah hadis pun yang menjelaskan bahawa untuk melakukannya disyaratkan berwuduk, suci pakaian atau tempat sujudnya.”

“Juga tidak terdapat keterangan daripada Baginda Rasulullah s.a.w. bahawa cara Sujud Syukur harus bertakbir atau mengadap kiblat.”

Sebab itulah, kita dapat lihat atlet-atlet dan pemain bola sepak yang biasa mengerjakan Sujud Syukur ketika memenangi perlawanan atau sebaik menjaringkan gol keemasan buat pasukan mereka.

Menurut ulama, ia juga boleh terus dilakukan apabila mendengar khabar semasa berada dalam keadaan duduk, ataupun semasa berada di atas kenderaan jika seseorang didalam didalam permusafiran.

Walaupun terdapat percanggahan dalam pendapat tentang cara Sujud Syukur, kita digalakkan untuk melakukan tatacara yang paling sempurna dan pandangan ulama’ yang paling ramai. Lagipun, ia tidaklah sesukar mana.

Maka, manfaatkanlah peluang melakukan ibadat sujud ini, walaupun ia hanya merupakan tuntutan sunat.

Ini kerana, dengan melakukannya bererti kita menghidupkan sunnah Rasulallah SAW.

 

 

Sumber:mStar,Zayyan