Pengalaman Seram Pemandu Van Jenazah, Nampak Rambut Mengurai Keluar Dari Van Jenazah

(Gambar hiasan)

2 SEPTEMBER 2013. PUKUL 3.30 PAGI.

 Bukan calang-calang orang boleh memandu van jenazah. Hanya mereka yang cekal, berani sahaja boleh melakukan tugas ini.

Hendak pula apabila terpaksa memandu seorang diri di waktu malam demi menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan.

Ada kalanya tugas itu lancar, ada kalanya terganggu di tengah jalan. Kalau tidak bernasib baik, kemungkinan van jenazah di tumpang sesuatu.

Itu pengalaman yang pernah berlaku kepada Khairul Ariffin Harun, salah seorang pemandu van jenazah di Pejabat Agama Kota Tinggi, Johor.

Kejadian ini berlaku pada 2 September 2013. Ceritanya begini.

Dari Felda Tenggaroh 1, Ariffin memandu menghala ke bandar Kota Tinggi.  Selepas menghantar jenazah di Felda tersebut, dia yang mesra disapa Epin mahu segera pulang ke rumahnya yang terletak di bandar Kota Tinggi, Johor.

Perjalanan pulang pagi itu agak sepi. Tidak banyak kenderaan yang melalui jalan di antara Johor Bahru ke Mersing itu. Hanya sesekali, van dipandunya, berselisih dengan kereta atau lori-lori.

Setengah jam memandu seorang diri dalam keadaan bosan, tiba-tiba beliau dikejutkan dengan deringan telefon. Cepat-cepat dia menjawab panggilan daripada isterinya itu.

“Abang kat mana? Balik tak?” tanya isterinya.

“Dah hantar jenazah. Ni on the way balik,” jawab Epin lalu menamatkan perbualan.

Tapi, sebaik telefonnya diletakkan di kerusi sebelah, dan melalui sebuah selekoh tajam di kilometer 46.5,  tiba-tiba dia tergamam.

Di depannya, kelihatan sebuah kenderaan berada di laluan bertentangan selepas hilang kawalan. Kenderaan itu bergerak ke kiri dan ke kanan sebelum berpusing-pusing beberapa kali.

Cepat-cepat kaki Epin menekan brek. Serentak tangannya menyentap stereng ke sebelah kiri, mengelek dari bertembung kenderaan tadi. Bunyi tayar menjerit mencengkam jalan.

STREETTTT…

DAMMMMM!

Suasana sunyi sepi. Badan Epin menggeletar. Jantungnya berdenyut kencang bagai mahu luruh.

Van jenazah dipandunya terbabas ke kiri sebelum melanggar pengadang jalan akibat mengelak dari berlanggar kereta yang terbabas. Bila keadaan sudah tenang, beliau keluar dari van. Baru dia tahu rupanya, van jenazahnya sudah tersadai di atas pembahagi jalan.

Epin meninjau keadaan sekeliling mencari kenderaan yang terbabas tadi. Tapi Epin pelik. Kereta yang terbabas dan hampir melanggar van jenazahnya tiada di situ.  Yang ada hanya van jenazahnya saja.

“Pelik. Mana pula perginya kereta tadi?” soalnya hairan sebab yakin kenderaan itu betul-betul terbabas dan mereka hampir berlanggar.

Disebabkan van tak boleh bergerak, dan handphonenya tercampak ketika kemalangan, Epin gagal menghubungi sesiapa untuk meminta bantuan.

Epin berdiri di tepi jalan. Niatnya mahu meminta bantuan daripada pengguna jalan raya yang lain. Tapi, selepas hampir 20 minit menunggu, sekali lagi Epin terasa pelik.

Hampir 20 buah kenderaan telah melalui kawasan itu dan sudah hampir 10 buah kereta ditahan tapi peliknya tiada sebuah pun yang sudi berhenti menghulur bantuan.

Lebih pelik, semua kenderaan itu berlalu begitu sahaja seolah-olah langsung tak nampak kemalangan yang berlaku.

“Mustahil tak nampak. Tepi jalan aja. Biasanya kalau accident mesti kereta slow. Ni laju aja. Tak nampak ke?” bisik hatinya tertanya-tanya.

Akhirnya selepas 20 minit, sebuah kereta berhenti menghulur bantuan. Epin meminjam telefon pemandu tersebut lalu menghubungi rakannya meminta bantuan.

Setengah jam kemudian, rakannya tiba bersama trak penunda. Sebelum van jenazah ditunda, pemandu trak merakan gambar van tersebut sebagai bukti van terlibat kemalangan apabila mahu membuat menuntut insurans.

 

DUA hari kemudian, Epin  terima panggilan daripada pemandu trak penunda.

“Epin… dah tengok gambar van accident tu? Ada benda dekat van tu,” beritahu lelaki tersebut melalui telefon.

Lantas tanpa berlengah, lelaki tadi menghantar gambar dirakamnya ke telefon bimbit Epin. Sebaik melihatnya, Epin terkejut.

Gambar itu menunjukkan ada rambut panjang mengurai keluar melalui cermin belakang van tersebut.

“His… rambut siapa pula? Macam mana boleh ada,” bisik hati Epin tertanya-tanya.

Lagipun dia yakin ketika meninjau keadaan van bersama rakan-rakannya datang membantu, tiada siapa yang perasan kemunculan rambut tersebut.

Selepas tengok gambar itu, Epin mula percaya. Dia yakin, kelibat kereta terbabas dan hampir melanggarnya bukanlah kereta sebenar seperti disangkanya sebab itu ‘kereta’ itu ghaib begitu sahaja.

Sebaliknya apa yang berlaku disebabkan di sebabkan ada ‘sesuatu’ yang aneh mengganggu perjalanannya selepas menghantar jenazah.

Lagipun, kalau hendak kata dia mamai, berkhayal atau mengantuk, agak mustahil. Sebabnya dia baru sahaja bercakap dengan isterinya.

Satu lagi, Epin juga teringat kejadian pelik yang berlaku sebelum dia mengambil jenazah dari hospital. Apabila selesai uruskan dokumentasi menuntut jenazah salah seorang kakitangan yang bertugas di bilik mayat menegurnya.

“Abang kenapa van ni bau busuk sangat?”tanya lelaki itu.

Busuk? Apa yang busuknya? Epin jadi pelik mendengar pertanyaan rakanya. Bila masa pula vannya berbau busuk? Dia datang ke hospital dengan van itu dan tidak pula dia terhidu sebarang bau busuk atau kurang menyenangkan ketika memandu tadi.

Dek perasaan ingin tahu, Epin terus pergi ke vannya. Memang betul, sebaik mukanya dijengah ke dalam van, serta-merta bau busuk menerpa hidungnya.

Bau itu begitu busuk hingga tekak terasa loya. Bagi Epin, baunya seperti nasi basi yang di tinggalkan terperap semalaman dalam kereta.

Mulanya Epin cuba mencari bau tersebut, tapi selepas puas selongkar, dia sendiri tidak pasti dari mana bau itu muncul.

Tapi apa yang membuatkan Epin lebih pelik, selepas van jenazahnya terlibat kemalangan, serta-merta bau busuk tadi hilang.

Bila teringat semua kejadian tersebut, Epin mula tertanya-tanya. Adakah bau busuk seperti nasi basi itu sebenarnya datang daripada makhluk yang menumpang vannya sehingga gambar rambut makhluk itu berjaya dirakam? Atau adakah angkara makhluk itu juga, dia terlibat kemalangan?

 

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! DTK

Sumber: MHETV