Sefhia bakal dapat Papa baru

“KEIKHLASANNYA menyayangi Sefhia membuka pintu hati saya untuk menerima cinta baru”.

Demikian kata penyanyi dan pelakon, Elly Mazlein, 38, mengakui sedang dalam proses mengenali rapat seorang lelaki yang dipanggil Papa.

Menurut Elly, lelaki yang dikenali sejak lima bulan lalu juga rapat dengan anaknya, Putri Sara Sefhia dan menerima anaknya seperti anak sendiri.

 

“Kami masih lagi dalam fasa perkenalan. Papa adalah nama yang dipanggil oleh Sefhia kepadanya dan Sefhia pun nampaknya, mula selesa dengannya.

“Papa juga sayang Sefhia seperti anaknya sendiri. Kasih sayang itu nampak sangat ikhlas dan bukan dibuat-buat,” katanya kepada Harian Metro.

Elly berkata, lelaki itu hadir pada masa yang betul.

“Buat masa sekarang, fokus kami adalah untuk bahagiakan Sefhia.

“Saya terbuka hati untuk menerimanya kerana dia sanggup keluar bertiga kerana saya akan sentiasa membawa Sefhia bersama,” katanya.

Penyanyi lagu Istana Depan Mata itu juga gembira melihat anaknya yang kini nampak sangat bahagia.

“Papa membuatkan Sefhia rasa disayangi. Kalau dulu, dia tengok saja kalau ada kanak-kanak yang bermanja dengan bapa mereka. Sekarang, dia dah dapat rasakan perasaan yang sama seperti kanak-kanak lain,” katanya.

Selain itu, lelaki itu juga nampaknya sudah melakukan pelbagai persediaan untuk kehidupannya.

“Walaupun dia masih muda, tapi fikirannya sangat matang. Dia sentiasa bersiap sedia untuk kehidupannya, contohnya dah ada rumah sendiri dan simpanan untuk masa depan,” katanya.

Elly memohon peminat-peminatnya supaya mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaan hidup buatnya bersama anak.

“Insya-Allah, saya harap hubungan kali ini dipermudahkan oleh Allah. Doakan saya sekeluarga,” katanya.

 

Elly sebelum ini  berkahwin dengan pengarah Azmi Hatta pada tahun 2014 dan kemudiannya berpisah pada 2016.

 

 

Sumber:hMetro