“Tak semua boleh dikongsi tentang diri ini. Ada yang boleh, ada yang harus dirahsiakan. Terutama hal rumah tangga, kalau mahu ditulis kerana itu akan dibaca semua orang,” kata pelakon cantik era awal 90-an, Datin Mas Anizan Mohamed Shahid, 46.
Memilih untuk kembali berlakon setelah lama menyepi, pastinya dia mahu kehadiran semula bakal merancakkan suasana. Namun sudah pasti banyak persoalan dan tanda tanya muncul saat melahirkan hasrat kembali semula.
Tidak sekadar kisah kerjaya, kisah peribadinya turut menjadi perhatian. Apa sebenarnya yang bersarang dalam hati wanita yang masih jelita ini?
“Apa yang boleh saya katakan, saya gembira dan bahagia dengan kehidupan dilalui. Dengan izin suami dan atas permintaan pihak penerbit, saya bersetuju untuk kembali sebagai pelakon.
“Tak saya nafikan, saya juga berasa rindu setelah lama menyepi dari dunia lakonan. Insya-Allah pada bulan depan saya akan terlibat dalam drama baharu,” katanya yang menerima tawaran daripada Zeel Production Sdn. Bhd..
Mas Anizan mula diperkenalkan dalam drama televisyen Sesat Dalam Cahaya pada tahun 1990. Filem pertamanya pula berjudul Antara Gadis yang menaikkan lagi namanya.
Wajah Mas Anizan di layar perak suatu ketika dulu
Bagaimanapun setelah popular menjayakan drama dan filem, tahun 1993 pelakon bermata galak dan berambut panjang ini, ‘disunting’ ahli perniagaan, Datuk Ali Bapoo sebagai isteri.
Ketika awal menjalani kehidupan sebagai isteri, pada mulanya Mas Anizan tak keberatan berkongsi pengalaman seorang isteri muda. Namun lama-kelamaan, lebih selesa menjalani kehidupan berumah tangga tanpa sebarang publisiti.
“Dengan suami pertama, saya mempunyai dua orang anak Mas Aliza, 24 dan Muhamad Masli Danail, 19. Semua maklum, Allahyarham meninggal dunia pada 2008.
“Mungkin sudah tertulis jodoh untuk saya lagi, beberapa tahun kemudian, saya bertemu jodoh lagi. Alhamdulillah, saya mempunyai seorang anak Ariana Marrisa, 5, dengan suami sekarang.
“Dan suami tak menghalang saya berlakon namun saya juga perlu tahu batas-batas sebagai seorang isteri,” cerita jelitawan berasal dari Perak ini.
Namun tegasnya, dia tidak akan mendedahkan siapakah gerangan lelaki yang beraja di dalam hatinya. Meskipun ada yang cuba mengasak bertanyakan hal tersebut, dia lebih selesa mengunci mulut.
“Cuma pada waktu sekarang lebih baik saya merahsiakan siapakah suami dan beberapa maklumat keluarga daripada pengetahuan umum. Cukuplah ‘kita kita’ saja yang tahu,” katanya ketika kami berbual selesai fotografi eksklusif yang diaturkan untuk Pancaindera.
Wajah terkini Mas Anizan
Berdebar
BIMBANG dan berdebar-debar. Itu dirasakan setelah bersetuju untuk kembali beraksi di depan kamera.
“Insya-Allah, saya akan buat yang terbaik. Tapi rasa berdebar-debar juga maklumlah dah lama tak turun gelanggang. Selain itu, suasana pasti berbeza, maklumlah sekarang ramai artis baharu.
“Tentang dulu, kalau kami ke lokasi atau set drama dan filem hubungan sesama artis macam famili. Memang seronok. Sekarang ini, tak tahulah. Pada masa sama, risau juga penerimaan peminat. Adakah saya diterima semula sebagai pelakon?” soalnya.
Pun begitu dia sendiri sudah membuat beberapa persediaan untuk kembali beraksi di hadapan kamera. Tegasnya, dia sendiri perlu bersedia meski terpaksa mengambil masa menyesuaikan diri.
Ditanya tentang perihal anak-anak pula, Mas Anizan hanya tersenyum menjawab soalan tersebut.
Anak sulung Mas Anizan yang mewarisi kecantikan ibunya
“Tak ada pula yang nampak mengikut jejak jadi pelakon. Yang sulung dah bekerja. Kedua tak nampak pun berminat. Cuma si kecil ni suka beraksi depan kamera. Tak tahulah, kalau-kalau dia minat berlakon,” katanya ringkas.
Ditanya impian hidup, jawabnya: “Seperti orang lain, pada waktu dan usia sekarang, saya ingin menikmati kehidupan yang aman damai dan tenang bersama-sama keluarga.
“Pendek kata nak menjalani kehidupan harmoni, positif dan tenang. Jadi memilih menjadi artis semula, mahu tak mahu saya kenalah memastikan tidak berdepan sebarang masalah,” katanya menutup perbualan petang tersebut.