Wany berazam untuk perbaiki diri,jadi lebih baik

PENYANYI Wany Hasrita tidak mahu meletakkan soal jodoh sebagai satu keutamaan lagi memandangkan dia masih mahu memberikan fokus pada kerjaya seninya.

Wany atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 26, berkata dia perlu memperbaiki dirinya terlebih dahulu sekiranya ingin seorang suami yang baik.

“Saya berazam untuk menjadikan diri lebih baik. Sebab sekecil-kecil perangai, kita tahu selepas ini tak boleh buat lagi dan perlu perbaiki kelemahan kita.

“Paling penting, saya mahu menjaga keperibadian diri. Orang cakap kalau nak suami baik, kena jadi yang lebih dahulu. Jadi, saya nak jadi yang lebih baik.

“Soal jodoh ini bukan keutamaan saya sebab fokus saya hanya pada kerjaya. Tapi saya tak halang kalau ada jodoh datang cuma saya tak cari,” katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Menahan Rindu ini memberitahu 2019 merupakan tahun untuk dia bekerja lebih keras dan ketepikan semua perkara yang tiada kaitan dengannya.

Bagaimanapun, Wany menganggap segala apa yang berlaku sepanjang tahun lalu pengajaran buatnya sebagai anak seni.

“Saya tidak sabar untuk kerja lebih keras. Memang nak kerja sehabis-habisnya. Nak ketepikan segala benda yang tak berkaitan dan buang masa.

“Macam tahun lalu, kita dapat lihat saya ada terpalit dengan beberapa kontroversi. Tapi bagi saya, itu pengajaran sebagai anak seni.

 

“Sebab itu tahun ini azam saya untuk tidak berkata lantang, menjaga keperibadian dan menjaga kata-kata yang saya nak keluarkan,” ujarnya.

Selain itu, Bintang Paling Popular 2018 itu juga ada merancang untuk menunaikan umrah pada penghujung tahun ini.

Semoga impian dan niat suci Wany Hasrita tercapai. 

 

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! DTK

Sumber:mstar