Kurang ‘Job’, Beego Kini Jadi Pembekal Durian

Disebabkan kurang mendapat tawaran berlakon sejak tahun lalu, pelakon Beego kini bertukar angin menjadi pembekal buah durian.

Kata Beego ketika ditemui XTRA memaklumkan dia bakal sibuk pada bulan Ramadan ini memandangkan perlu membekal hampir 5,000 kilogram buah durian setiap hari.

“ Bukan merajuk dari dunia lakonan cuma tawaran sudah makin kurang. Sebagai pelakon lama saya perlu cari back up untuk masa depan.

“ Jadi saya mencuba pelbagai pekerjaan termasuklah menjadi pembekal buah durian.

“ Untuk Ramadan tahun ini, saya akan dapatkan buah durian dari Pahang dan Johor untuk bekalan di Hotel Premiera, Kuala Lumpur,” katanya bersemangat.

Beego atau nama sebenarnya Mohd Aszerul Nizam Abdullah memberitahu ini merupakan projek sulungnya dan berharap agar segalanya dipermudahkan.

“ Saya pun pada awalnya sekadar mencuba menghantar tender, tak sangka rezeki menyebelahi saya pada tahun ini,” kata suami kepada pelakon Linda Rahim ini.

Dalam perkembangan lain, Beego baru sahaja selesai menjalani penggambaran telefilem yang bakal disiarkan untuk siaran RTM tidak lama lagi. Semoga Beego terus sukses dalam perniagaan dan lakonan!

Sumber:XTRA