Petua Nak Bagi Sambal Tumis Jadi Lagi Padu

Semestinya sambal tumis adalah salah satu jenis lauk yang sangat digemari oleh rakyat Malaysia. Walaupun kedengaran mudah, bukan semua orang dapat menghasilkan sambal tumis yang lazat dan ‘mengancam’, lebih-lebih lagi pada percubaan pertama.

Tapi bila dah kena gaya, sambal tumis ini bukan saja menjadi pelengkap nasi lemak, malah ia menjadi pembuka selera bagi apa jua jenis hidangan seperti nasi goreng, mee kari, dan sebagainya. Cicah dengan cucur dan roti kosong pun ‘terangkat’!

Di sini kami kumpulkan beberapa tips dan petua masak sambal nasi lemak yang sedap untuk anda cuba di rumah.

7 TIPS & PETUA MASAK SAMBAL NASI LEMAK YANG LEBIH MANTAP

1. GUNA MINYAK BEKAS GORENGAN IKAN BILIS

Seeloknya goreng ikan bilis terlebih dahulu sebelum membuat sambal. Bila dah goreng, jangan buang minyaknya, gunakan minyak bekas gorengan ikan bilis tadi untuk menumis rencah sambal. Cara ini akan membantu anda mendapatkan tumisan yang mempunyai aroma ikan bilis yang ‘naik’ dan lebih terasa.

2. SEGENGGAM IKAN BILIS YANG DIKISAR

Satu lagi cara nak bagi rasa sedap adalah dengan menambah lebih kurang segenggam kecil ikan bilis yang dikisar ke dalam sambal. Boleh juga kalua nak kisar Bersama bawang dan cili. Kalau nak lebih ‘power’, gunakan ikan bilis yang telah digoreng terlebih dahulu. Memang terasa sungguh ikan bilisnya, tak perlu pakai stok atau bahan perasa lagi!

3. GUNA BAWANG MERAH

Ada yang berpendapat, bawang merah lebih sedap untuk dibuat sambal tumis ini. Tak perlu campur bawang putih atau bawang lain lagi. Ini kerana, rasa manisnya dah cukup enak dan sesuai menjadi bahan utama tanpa dicampur bawang lain.

4. MASAK CILI LEBIH LAMA, LEBIH SEDAP

Cili yang dimasak lebih lama lebih sedap rasanya. Bila cili dah mula garing, baru masukkan bawang kisar. Ada yang tunggu 2-3 kali kering dan ditambah sedikit air.

Untuk memastikan semua bahan betulbetul masak dengan sempurna, gunakan api kecil atau sederhana saja.

5. GULA MELAKA / GULA APUNG

Masa memperasakan sambal tumis, gula adalah salah satu bahan wajib yang akan menyedapkan rasa. Bukan itu saja, ia juga membantu memberi warna yang lebih gelap, tekstur yang likat serta kelihatan berkilat.

Paling sedap kalua dapat bubuh gula melaka, gula nisan, atau gula apung. Rasanya tak terlalu manis dan cukup berlemak.

6. MASUKKAN BISKUT LEMAK

Ini ada lagi satu petua yang ‘rare’ – iaitu dengan memasukkan 2-3 keping biskut lemak ke dalam sambal tumis anda. Tahu tak biskut lemak yang mana? Ya, biskut kraker yang petak tulah.

Tak kisahlah jenama Hup Seng atau apa-apa jenama lain. Caranya, hancurkan biskut ini hingga menjadi serdak halus. Kemudian, gaulkan ke dalam sambal yang sedang dimasak. Walaupun nampak pelik, inilah rahsia yang boleh membuat sambal anda tumis anda terasa lebih mantap. Tak percaya, cubalah!

7. ELAK TERLALU PEDAS

Kadang-kadang bila dah siap masak sambal, rasa pedasnya terlalu ‘menyengat’. Kasihan pula bila anak-anak tak dapat nak makan sebab tak tahan pedas. Untuk kurangkan rasa pedas ini, boleh masukkan sebiji tomato yang dikisar atau kentang yang dipotong.

Lain kali masa gunting cili kering, guntingkan di tengah-tengah secara memanjang supaya kebanyakan bijinya dapat dikeluarkan. Selepas rebus, tapis lagi agar keluar lagi sisa bijinya. Barulah cili akan kurang pedas dan dapat dijamu kepada anak-anak.

ADA PETUA LAGI? JOM KONGSIKAN!

Setakat ini saja dululah beberapa petua yang dapat dihimpunkan untuk anda semua. Kami percaya, mesti ramai ‘otai-otai’ memasak yang ada lagi banyak tips untuk dikongsikan.

Jika ada, jemputlah berkongsi ilmu di ruangan komen ya. Semoga ia dapat memanfaatkan ramai pembaca di luar sana.

 

 

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! DTK

Sumber: semuanyajdt