Tiada alahan, Adira sedar hamil anak ketiga selepas kandungan berusia 5 bulan!

PENYANYI Adira Suhaimi memberitahu dia tidak menyedari dirinya sedang hamil anak ketiga sehingga usia kandungan memasuki usia lima bulan.

Menurut Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, 28, selain tidak mengalami sebarang alahan, perutnya yang agak kecil membuatkan dia tidak tahu kehadiran si kecil berkenaan.

 

“Sebenarnya sudah dua kali pengalaman saya mengandung ketika berpuasa. Sejujurnya saya tidak mengetahui yang saya sedang hamil… alahan tiada, perut pun leper sahaja.

“Sehinggalah kandungan memasuki usia lima bulan, itupun selepas saya berjumpa doktor untuk pemeriksaan kesihatan.

“Bila doktor tekan, baru tahu ada baby,” katanya kepada mStar.

Adira ditemui ketika majlis Pelancaran Koleksi Raya Hermanas x Adira di Work @ Nest, The Curve, Damansara pada Selasa.

Dalam pada itu, Adira yang merahsiakan jantina anaknya itu memberitahu dia tidak kisah sekiranya dikurniakan bayi lelaki atau perempuan kerana kini adalah ibu kepada sepasang cahaya mata.

Adira kini hamil anak ketiga.

“Jantina anak saya tak scan lagi. Biarlah ianya menjadi kejutan buat semua.

“Saya tidak kisah soal jantina kerana sudah ada Anggerik (perempuan) dan Assan (lelaki).

“Untuk kehamilan kali ini saya tidak kisah lelaki atau perempuan asalkan dia sihat,” katanya.

Tambah penyanyi lagu Pujaan Hati ini, dia juga tidak menolak sekiranya dikurniakan anak yang ramai.

“Kalau boleh nak merancang juga tapi sudah rezeki.

“Saya okay sahaja kalau anak ramai. Lagi seronok… cuma awal-awal tu mungkin susah sedikit,” katanya.

Terdahulu, Adira berkahwin dengan ahli perniagaan, Datuk Seri Adnan Abu atau Datuk Red sebagai isteri kedua di Songkla, Thailand pada 3 Disember 2015.

Pasangan itu menimang cahaya mata pertama bernama Anggerik pada 10 Mac 2017 manakala anak kedua iaitu Assan pada 9 September tahun lalu.

 

 

 

 

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! DTK

Sumber:mstar