Keberkatan sahur yang semakin dilupakan

Sahur ialah makan sebelum terbit fajar (sebelum masuk waktu Subuh) dan khusus dilakukan apabila hendak memulakan puasa.

Seringkali kita mendengar tentang anjuran bersahur dan disebutkan tentang keberkatan yang ada didalamnya. Apakah keberkatan tersebut?

Al-Hafiz Ibnu Hajar hafizahullah mengatakan, “Keberkahan dalam sahur di dapatkan dalam berbagai sisi, iaitu mengikuti sunah, menyalahi(membezakan kita daripada) ahli kitab, menguatkan dalam beribadah, menambah semangat, menahan akhlak buruk dari rasa lapar, menjadi sebab memberi sedekah bagi orang yang meminta hal itu atau berkumpul untuk makan bersama, menjadi sebab untuk berzikir dan berdoa pada waktu mustajabah. Mendapatkan niat puasa bagi orang yang lupa sebelum tidur.” Petikan daripada Kitab Fathul Bari (4/140).

Maka daripada kata-kata Ibnu Hajar ini, dapat kita fahami bahawa keberkatan yang ada dalam sahur itu bukan hanya pada perbuatan sunnah sahur itu sahaja, malah kerana waktunya yang mustajab untuk berdoa, kesungguhan untuk bangun dari tidur dan juga hak yang perlu diberikan kepada badan sebelum memulakan puasa.

Justeru, digariskan dengan lebih terperinci hadis-hadis yang menceritakan tentang amalan sahur untuk rujukan anda para pembaca semua.

#1-Beza Puasa Orang Islam Dan Ahli Kitab Adalah Sahur
عَنْ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ فَصْلُ مَا بَيْنَ صِيَامِنَا وَصِيَامِ أَهْلِ الْكِتَابِ أَكْلَةُ السَّحَرِ

Dari Amru Ibnu As RA, Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Perbezaan antara puasa kita dengan puasanya Ahli Kitab adalah makan sahur.” (HR Muslim, no. 1836 – Status Hadis Sahih)

#2- Allah Dan Malaikat Berselawat Kepada Orang Yang Bersahur
عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ السَّحُورُ أَكْلُهُ بَرَكَةٌ فَلَا تَدَعُوهُ وَلَوْ أَنْ يَجْرَعَ أَحَدُكُمْ جُرْعَةً مِنْ مَاءٍ فَإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى الْمُتَسَحِّرِينَ

Dari Abi Said al-Khudri RA, Rasulullah SAW bersabda: “makan sahur itu barakah, maka janganlah kalian tinggalkan meskipun salah seorang dari kalian hanya minum seteguk air, kerana sesungguhnya Allah ‘azza wajalla dan para malaikatNya berselawat kepada orang-orang yang makan sahur.” (HR Ahmad, no. 10664 – Status Hadis Hasan)

#3- Sahur Waktu Mustajab Berdoa
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الْآخِرُ يَقُولُ مَنْ يَدْعُونِي فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ مَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ

Daripada Abu Hurairah RA, Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Allah Tabaraka wa Ta’ala turun ke langit dunia pada setiap akhir sepertiga malam lalu berfirman, “Siapa sahaja yang berdoa kepadaKu, maka Aku tunaikan untuknya. Sesiapa sahaja yang meminta kepadaKu, Aku berikan kepadanya. Sesiapa sahaja yang memohon ampun kepadaKu, Aku ampunkannya.” (Sahih Bukhari, no. 1094 – Status hadis sahih – Dar Ibn Kathir)

#4- Sunah Melewatkan Sahur Dan Menyegerakan Berbuka
عَنْ أَبِي ذَرٍّ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لِبِلَالٍ أَنْتَ يَا بِلَالُ تُؤَذِّنُ إِذَا كَانَ الصُّبْحُ سَاطِعًا فِي السَّمَاءِ فَلَيْسَ ذَلِكَ بِالصُّبْحِ إِنَّمَا الصُّبْحُ هَكَذَا مُعْتَرِضًا ثُمَّ دَعَا بِسَحُورِهِ فَتَسَحَّرَ وَكَانَ يَقُولُ لَا تَزَالُ أُمَّتِي بِخَيْرٍ مَا أَخَّرُوا السَّحُورَ وَعَجَّلُوا الْفِطْرَ

Daripada Abu Dzar RA bahawa Nabi SAW bersabda pada Bilal: “Wahai Bilal, kalau subuh telah beranjak ke langit maka itu bukanlah subuh, subuh itu nampak seperti ini, ” lalu baginda menyuruh untuk sahur dan baginda pun sahur seraya bersabda: “Umatku akan selalu dalam kebaikan selama mengakhirkan sahur dan mempercepat berbuka.” (Musnad Ahmad, no. 20996 – Status Isnad Hasan) Dar Ihya Turath Arabi.

Waktu sahur dilewatkan seperti yang diceritakan oleh Anas bin Malik RA daripada Zaid bin Tsabit:

تَسَحَّرْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ قَامَ إِلَى الصَّلَاةِ قُلْتُ كَمْ كَانَ بَيْنَ الْأَذَانِ وَالسَّحُورِ قَالَ قَدْرُ خَمْسِينَ آيَةً

“Kami makan sahur bersama Nabi Muhammad SAW lalu kami solat (subuh) berjamaah”, Anas berkata kepada Zaid: “berapa jarak waktu antara azan (subuh) dan sahur?” Zaid menjawab: “sekitar bacaan al-Quran 50 ayat” (Sahih Bukhari, no. 550, Dar Ibn Kathir – Status Hadis Sahih)

Maka, jangkaan waktu terbaik untuk sahur ialah kira-kira 10 hingga 15 minit sebelum masuk waktu Subuh.

Selain daripada segala keterangan di atas, secara alaminya apabila bangun sahur, kita juga dapat melatih otak untuk bersedia dengan puasa yang akan bermula pada hari yang baru.

 

KONGSIKAN ARTIKEL INI
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

 

 

Sumber:tzkrh.net