Kecuaian teknikal punca bil elektrik melambung tinggi

SURUHANJAYA Tenaga (ST) mengesahkan berlaku kecuaian teknikal berhubung isu bil elektrik melambung tinggi yang ditanggung pengguna di seluruh negara.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, kerajaan memandang serius isu berkenaan dan pihak Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) sudah mengarahkan ST menyiasat dakwaan pengguna dalam tempoh 14 hari mulai hari ini.

“ST sudah mengadakan pertemuan dengan pihak TNB dan syarikat utiliti berkenaan memberikan tiga sebab berhubung kenaikan itu, namun ia tidak boleh diperincikan kerana masih dalam siasatan.

“Bagaimanapun, siasatan awal ialah satu daripadanya disahkan kecuaian dari segi teknikal,” katanya pada sidang media berhubung aduan pengguna berkaitan bil elektrik tinggi di Putrajaya, hari ini.

Pada masa sama, beliau turut mengesahkan, isu kenaikan bil elektrik itu juga tidak berkaitan dengan kenaikan tarif.

Selain itu, Bee Yin berkata, berdasarkan undang-undang, pengguna tetap perlu menjelaskan bil elektrik dalam tempoh sebulan dan jika ada lebihan, mereka yang layak akan mendapat pembayaran balik.

“Bagi saya sedikit masa berbincang dengan TNB dan saya rasa, kita boleh selesaikan dalam masa terdekat. Jika perkara ini berlanjutan, kita perlu ada jalan penyelesaian,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, berdasarkan kepada undang-undang yang dikuatkuasakan, pihak ST boleh mengeluarkan notis kepada TNB untuk mengambil langkah diperlukan bagi mengatasi masalah timbul daripada aduan berbangkit.

Katanya, antara undang-undang terpakai adalah Seksyen 9C Akta Bekalan Elektrik 1990 iaitu TNB hendaklah memenuhi standard prestasi pembekalan dan perkhidmatan penggunaan elektrik.

“ST boleh mengambil tindakan ke atas sebarang ketidakpatuhan undang-undang termasuk pendakwaan kesalahan di mahkamah. Berdasarkan Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990, orang yang disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM25,000 bagi setiap kesalahan.

“Dalam hal kesalahan berterusan, boleh didenda tidak melebihi RM500 tiap-tiap hari bagi sebahagian kesalahan itu berterusan selepas sabitan,” katanya.

Mengulas lanjut, Bee Yin berkata, sepanjang Mei ini, ST menerima sebanyak 395 pelbagai aduan daripada orang ramai dan jumlah berkenaan meningkat mendadak berbanding tahun lalu sebanyak 95 aduan.

“Berikutan itu, pengguna yang mengalami masalah berkaitan kenaikan bil elektrik boleh membuat aduan kepada TNB. Jika mereka merasakan ketidakadilan atau tidak dilayan, boleh mengadukan perkara itu kepada ST.

“Setiap aduan yang diterima ini akan disiasat terlebih dahulu sebelum tindakan selanjutnya diambil,” katanya.

 

 

 

 

Sumber:Harian Metro