Makan kimchi kalau nak kurus!

KIMCHI adalah salah satu makanan Korea yang semakin popular di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Seperti sambal belacan, kimchi merupakan menu pelengkap yang wajib ada setiap kali menikmati apa sahaja hidangan.

Bagi yang tidak tahu, kimchi dibuat hasil proses penapaian sayuran segar termasuk sawi, lobak putih dan timun yang dicampur dengan bawang, garam, cili, cuka, minyak jagung dan halia – sekali gus ia memberikan rasa masin dan pedas.

Selain boleh dimakan begitu sahaja, kimchi juga kerap dijadikan sebagai makanan pelengkap selain dibuat nasi goreng kimchi, sup kimchi, piza kimchi dan sebagainya.

 

Umumnya, 100 gram kimchi biasanya mengandungi 17 kalori, tujuh gram karbohidrat, tiga gram serat, tiga gram gula, 39miligram (mg) kalsium, 485mg sodium, 11.7mg vitamin C dan 728 IU vitamin A membuatkan ia dikategorikan sebagai makanan rendah kalori.

Paling best, kimchi tidak mempunyai kandungan protien atau pun lemak.

Kimchi dikategorikan sebagai salah satu makanan yang baik untuk kesihatan. Kenapa? Kuman, bakteria yang mungkin terdapat pada sayur-sayuran itu akan terhapus ketika proses penapaian. 

Berikut adalah beberapa manfaaat memakan kimchi.

1. Sebagai makanan probiotik

Proses fermentasi kimchi menghasilkan bakteria asid yang dipanggil Lactobacillus yang mempunyai manfaat sama seperti yogurt.

2. Melancarkan pencernaan

Mengambil kimchi secara rutin boleh mengembalikan keseimbangan mikro dalam usus yang sekaligus membantu ia dapat berfungsi dengan lebih baik.

Kandungan probiotik di dalamnya juga dapat memainkan peranan dalam meminimumkan gejala irritabel bowel syndrome (IBS) iaitu sejenis keadaan di mana sakit perut termasuk perut kembung serta sembelit.

Kimchi kini mudah didapati di pasar raya tempatan.

3. Meningkatkan sistem imunisasi tubuh

Kimchi kaya dengan vitamin C yang merupakan antioksidan dalam melindungi sel-sel tubuh seseorang daripada sebarang kerosakan akibat radikal bebas.

Vitamin ini juga membantu dalam penghasilan protein termasuk kolagen bagi memberi kesan kulit yang sihat.

4. Menjaga kesihatan mata

Berlainan pula vitamin A yang terdapat dalam kimchi – ia membantu dalam menjaga kesihatan mata anda selain melambatkan penuaan.

5. Menurunkan risiko kanser

Beberapa kajian yang dilakukan terhadap proses penapaian kimchi, kobis putih yang digunakan sebagai salah satu bahan dapat mencegah pertumbuhan sel-sel kanser di dalam tubuh.

6. Menurunkan berat badan

Kandungan serat yang terdapat dalam kimchi mampu mengurangkan berat badan anda. Luar biasa bukan? – TEMPO

 

 

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! DTK

Sumber:mstar