Hasrat Izzue bawa isteri honeymoon ke Jepun tertunai selepas enam tahun

HASRAT pelakon Izzue Islam untuk membawa isteri tercinta, Awin Nurin berbulan madu di Jepun akhirnya tercapai .

Izzue berkata, sejak mula berkahwin sekitar enam tahun lalu dia pasang impian untuk membawa Awin ke Jepun namun belum ada rezeki.

“Alhamdulillah, impian untuk membawa isteri berbulan madu di Jepun menjadi kenyataan selepas enam tahun kami melayari bahtera perkahwinan.

“Walaupun agak terlewat tetapi kami bersyukur dapat juga menjejakkan kaki ke sini. Dapatlah kami berehat sambil meluangkan masa bersama-sama.

“Saya dan Awin sudah berada di Jepun sejak Jumaat lalu dan akan pulang tanah air pada 26 November ini,” katanya.

Menurut Izzue, sepanjang lima hari berada di Jepun dia berpeluang membawa isterinya bersiar-siar di bandar Osaka, Kyoto dan Okayama.

“Percutian kali ini kami bersama dengan pihak Okayama Health Tourism. Mereka bawa kami melawat beberapa tempat menarik sekitar Okayama seperti Okayama Korakuen, Okayama Castle, Kanba Falls, belajar menyediakan Sushi dan banyak lagi.

“Ini satu percutian yang indah buat kami berdua kerana dapat mengenali budaya Jepun dan melihat sendiri kehidupan masyarakat di sini,” katanya.

 

 

 

Sumber:HM