Dari impian masa kecil bertukar jadi hobi sekarang jadi sumber pendapatan!

Sejak kecil lagi, Anuar Nordin mempunyai impian memiliki kapal terbang kawalan jauh, dan kini ia bukan sahaja berjaya direalisasikan malahan bekas pegawai waran  Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menjadikan hobinya itu sebagai sumber pendapatan.

Mengimbau impian zaman kanak-kanaknya, Anuar berkata sejak dari kecil beliau hanya mampu melihat di kaca televisyen dan menyimpan hasrat untuk memiliki kapal terbang kawalan jauh.

“Agak mustahil bagi budak kampung untuk memiliki kapal terbang kawalan jauh.

“Ketika itu lastik adalah permainan kami, tambahan pula kos memiliki kapal terbang kawalan jauh agak mahal sehingga mencecah ribuan ringgit seunit,” katanya menambah aktiviti itu lazimnya dikaitkan sebagai alat permainan untuk orang kaya.

Hasrat yang dipendam berpuluh-puluh tahun itu akhirnya berjaya apabila beliau bersara pada 18 Jun 2012 dengan menempah satu set kapal terbang kawalan jauh berharga RM950.

“Kapal terbang yang saya beli (selepas bersara) kerap jatuvh dan akhirnya hancvr kerana saya tidak pernah belajar atau mempunyai pengalaman mengendalikan alat kawalan jauh kapal terbang,” katanya kepada Bernama.

Meskipun berdepan kesukaran menerbangkan kapal terbang kawalan jauh itu, Anuar berkata situasi itu tidak memat ahkan semangatnya untuk terus berusaha dan mencari jalan penyelesaian.

“Dari situ saya mula bertanya rakan-rakan yang mempunyai minat sama dan belajar cara-cara mengendalikan kapal terbang kawalan jauh. Kami juga sering bertukar-tukar pendapat mengenai aktiviti tersebut,” kata bapa tunggal kepada enam anak ini.

Anuar menunjukkan dua buah kapal terbang kawalan jauh hasil daripada papan busa dan busa mampat.

Disebabkan hasrat memiliki kapal terbang kawalan itu merupakan impiannya yang tidak kesampaian, beliau sanggup menghabiskan masa dan wang ringgit untuk mempelajari teknik mengendalikan kapal terbang kawalan jauh dengan betul.

Sedikit demi sedikit Anuar mula menimba ilmu di Internet termasuk laman YouTube dan blog serta merujuk kepada rakan-rakan yang mahir mengenai selok-belok mengenai kapal terbang kawalan jauh.

“Saya mengambil masa kira-kira setahun untuk mahir menerbangkan kapal terbang kawalan jauh,” katanya sambil menambah pada masa sama, beliau mula menghasilkan sendiri beberapa rekaan kapal terbang kawalan jauh berkuasa elektrik.

Kapal terbang yang berjaya dihasilkan Anuar diperbuat daripada papan busa dan busa mampat.

Anuar menjelaskan proses permulaan menghasilkan kapal terbang kawalan jauh agak renyah, namun menjadi semakin mudah apabila mengetahui selok-belok pembikinan kapal terbang itu.

“Ia memerlukan aspek seni, kreativiti dan kesabaran untuk menghasilkan kapal terbang kawalan jauh berkuasa elektrik yang menarik dan berkualiti,” katanya.

Bahan-bahan yang diperlukan dalam pembikinannya ialah gam panas, pisau, pembaris, enjin elektrik berkuasa 2400kw, alat kawalan kelajuan elektrik, bateri, pita pelekat, batang fiber, dawai dan kertas pelekat.

“Kos menghasilkan struktur badan kapal terbang sahaja dalam anggaran RM300 sehingga RM500, manakala kos yang lengkap termasuk alat kawalan jauh dan bateri adalah sebanyak RM1,000,” katanya.

 

Setiap unit kapal terbang kawalan jauh rekaan Anuar, boleh mencapai kelajuan antara 70 hingga 90 kilometer sejam jam dengan spesifikasi panjang 1.21 meter dan berat dianggarkan antara 700 hingga 800 gram.

 

Menurut Anuar, kesemua model kapal terbang terbang kawalan jauh yang direkanya mengikut model pesawat pejuang dan model pertama dicipta ialah Sukhoi su-35 yang menelan kos sebanyak RM950.

Model lain seperti Jet Mitsubishi F-22, Jet Nova, Eurofighter Typhoon, MiG, Polaris serta beberapa model lain dan kapal terbang kawalan jauh rekaan Anuar ini dijual di laman media s0sial Facebook.

Dari segi kuantiti yang mampu dibuat Anuar, beliau boleh menghasilkan sebanyak 20 sehingga 30 unit kapal terbang mainan itu dalam tempoh sebulan, namun Anuar lebih gemar melakukannya secara santai.

 

“Dalam masa sehari, jika betul-betul fokus, saya boleh hasilkan dua unit kapal terbang kawalan jauh yang mempunyai corak,” katanya menambah model pesawat Sukhoi su-35 dan Mitsubishi F-22, antara model yang sering mendapat sambutan.

Dari segi harga pula, Anuar berkata beliau tidak meletakkan harga tinggi kerana yang penting adalah meningkatkan bilangan peminat khususnya dalam kalangan anak muda untuk menjadikan aktiviti menerbangkan kapal terbang kawalan jauh sebagai hobi.

Demonstrasi penerbangan

Disebabkan kemahirannya membina kapal terbang kawalan jauh dan menerbangkan kapal terbang mainan itu, Anuar yang juga anggota sebuah badan bukan kerajaan, Kumpulan Penggerak Ibu Bapa dan Komuniti Negeri, Negeri Sembilan sering dijemput ke sekolah untuk berkongsi tentang inovasi dan membuat demonstrasi penerbangan kapal terbang kawalan jauh.

 

“Baru-baru ini, saya terlibat dengan program Kembara Merdeka 2019 dan saya dijemput melakukan persembahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Undang Syed Ali Al Jufri, Jelebu dan Sekolah Kebangsaan Senibai, Kuala Pilah,” katanya sambil berharap aktiviti yang dilakukannya dapat diperluaskan menjadi acara sukan di peringkat sekolah.

 

Menurutnya, aktiviti menerbangkan kapal terbang kawalan jauh memberi banyak manfaat kepada pelajar kerana ia bukan sahaja dapat mengelak pelajar terjebak dalam kegiatan kurang sihat, malah boleh membantu menetapkan cita-cita mereka sama ada sebagai juruterbang atau jurutera penerbangan suatu hari kelak.

 

Anuar juga menjelaskan negara jiran seperti Thailand dan Indonesia,sudah lama berkecimpung dalam aktiviti bermain kapal terbang kawalan jauh.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan menjadikan aktiviti ini sebagai sukan rakyat seperti penganjuran pertandingan wau dan gasing serta menyediakan kawasan khas untuk menjalankan aktiviti berkenaan.

Anuar juga berpendapat bidang ini mempunyai masa depan yang cerah sebagaimana teknologi dron yang kini digunakan untuk pelbagai tujuan.

“Hobi ini tidak lagi memerlukan kos tinggi kerana ada kapal terbang kawalan jauh yang murah. Sesiapa sahaja boleh berkecimpung, asalkan berminat,” katanya mengakhiri perbualan.

 

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! DTK

Sumber: mstar