Seorang wanita hamil empat bulan antara tiga sekeluarga yang masih belum ditemui selepas rumah mereka dihanyutkan dalam arus deras semasa kejadian banjir yang melanda Kampung Iboi, Kupang di Baling petang semalam.
Abd Rahman Said, 71, berkata ketiga-tiga mangsa ialah isterinya Salmah Mat Akib, 53, menantunya Nurul Hanis Abu Hassan, 23, dan anak tirinya Mohd Khairul Ikhwan Nor Azman, 14.
Dalam kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang itu, Nurul Hanis sempat menelefonnya memberitahu keadaan air yang semakin naik di kawasan rumah terbabit.
Abd Rahman ketika itu sedang dalam perjalanan balik namun apabila melihat jambatan berdekatan sudah hilang dibawa arus deras, dia segera meniggalkan kereta dan berlari untuk ke rumah.
“Apabila sampai saya lihat jambatan dah tak ada sebab dihanyut arus, saya terus parkir kereta dan berlari ke rumah tapi saya tengok rumah saya pun sudah tidak ada,” katanya ketika ditemui pemberita di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai hari ini.
Abd Rahman berkata isterinya terlantar kerana strok ditemani menantunya yang sedang mengandung anak sulung serta anak tirinya di rumah itu.
Katanya mereka mungkin tidak sempat menyelamatkan diri kerana kejadian berlaku begitu pantas.
Tambah Abd Rahman, kejadian banjir itu adalah yang terburuk pernah berlaku di kawasan itu yang menyebabkan rumahnya musnah 100 peratus dan dihanyutkan arus.
“Setakat ini saya belum terima apa-apa berita mengenai nasib mereka, tapi saya berharap mudah-mudahan mereka selamat. Tapi jika ditemukan tidak selamat sekalipun saya reda,” katanya sambil mengesatkan air mata.
Sementara itu, suami Nurul Hanis, Khairul Ashraf Nor Azman, 24, berkata ketika kejadian dia sedang bekerja di Pulau Pinang dan sepatutnya pulang hari ini bagi membawa isteri melakukan pemeriksaan kandungan.
Kata Khairul Ashraf, dia menerima panggilan daripada kakaknya mengenai kejadian banjir itu dan terus bergegas pulang, namun apabila sampai rumah yang didiami isterinya itu telah hilang dibawa arus deras.
“Saya dan isteri tinggal di Pulau Pinang, namun isteri saya minta balik ke kampung dan tinggal dengan emak untuk jaga dia sebab emak saya kena strok,” katanya yang mendirikan rumah tangga pada Feb lalu.
Khairul Ashraf berkata kali terakhir dia bertemu dengan isterinya pada minggu lepas dan isterinya itu sempat meninggalkan pesan supaya menjaga diri baik-baik.
“Sebelum kejadian kami juga sempat berbalas mesej dan dia meminta saya membelikan dia makanan dan macam-macam benda lain, tapi bila kejadian ini berlaku tak sempat saya nak tunaikan permintaan dia,” katanya.
Khairul Ashraf berharap isterinya dan ahli keluarganya yang lain dapat ditemukan dengan selamat, namun dia reda dengan segala ketentuan.
Sementara itu, Ketua P0lis Daerah Baling Supt Shamsudin Mamat menges-ahkan polis menerima laporan mengenai kehilagan tiga individu itu , namun setakat 2 pagi tadi pihaknya belum menjumpai sebarang petunjuk.
“Pada malam ini (tadi) operasi tidak dapat diteruskan memandangkan tempat itu gelap, ada takungan air dan keadaan berlumpur. Pada petang tadi (semalam) kami meninjau lokasi kejadian dan mendapati rumah tersebut telah musnah,” katanya ketika ditemui di PPS sama.
Shamsudin berkata operasi mencari kesemua mangsa diteruskan semula pada 7 pagi ini dan akan memperluaskan kawasan pencarian dengan pembabitan anggota daripada pelbagai agensi.
Dalam perkembangan sama, Shamsudin men-afikan dakwaan yang mengatakan seorang mangsa ditemukan terkorban dalam kejadian banjir itu seperti yang tular dalam media s0sial.
Sumber:Mkini