Penat berniaga nasi lemak, Kuna bersyukur anak-anak berjaya ke menara gading

Rasanya sudah lama tidak mendengar khabar pelakon senior ini.

Terkini, pelakon Kuna Muzani, 51, atau nama sebenarnya Tengku Sarina Tengku Muzani meluahkan rasa syukur dan puas dapat membesarkan ketiga-tiga anaknya hingga masing-masing berjaya menjejakkan kaki ke universiti.

Mungkin ramai yang tidak tahu Kuna yang juga merupakan seorang ibu tunggal selain berlakon, pernah mencari rezeki dengan berniaga nasi lemak demi membesarkan anak-anaknya.

Namun atas faktor usia, dia kini tidak lagi berniaga nasi lemak dan akan terus aktif berlakon selagi mendapat peluang dan tawaran.

“Saya dah tak larat sangat nak masak nasi lemak dan berniaga macam dulu lagi,jadi saya fokus berlakon”.

“Dua anak lelaki saya yang berusia awal 20-an melanjutkan pengajian mereka di universiti dan seorang daripadanya sudah pun habis belajar serta mendapat ijazah.

Manakala, anak gadis saya yang baru dapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) juga akan belajar di universiti.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana hasil daripada duit berlakon yang diterima selama ini dapat membesarkan tiga anak, sehingga mereka berjaya melanjutkan pengajian ke universiti,” katanya lagi.

Kuna pernah mendirikan rumah tangga dengan bekas suami dikenali Rizalman dan mereka sah bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada 5 Disember 2001.

Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan anak iaitu Nik Muhamad Hakimi Rizalman, Nik Haikhal dan Elysha.

Lebih dua dekad bergelar anak seni, antara drama lakonan Kuna yang popular ialah Nasi Kerabu Untuk Che Abe, Nur, Hati Yang Dikhianati dan banyak lagi.

Kuna juga adalah adik kepada pelakon Kuza dan kakak pelakon, Kuniey juga mempunyai pertalian dengan kerabat istana Kelantan.

Sumber:BH Online!