Mustapha Kamal berat hati lepaskan anak

Walaupun lama berkecimpung dalam dunia seni,pelakon veteran yang terkenal dengan jolokan Papa Megah Holding,Mustapha Kamal mengaku berat hati untuk membenarkan anak perempuannya, Salsabil Qur’ani, 19, atau Bil untuk terbabit dalam dunia lakonan.

Mustapha, 60, berkata, dia bagaimanapun enggan terlalu berkeras dalam menentukan hala tuju Salsabil yang meminati kerjaya itu.

Ujar Mustapha lagi, sepanjang 35 tahun bergelar anak seni, sudah pasti dia mengetahui asam garam bidang yang diceburinya, namun enggan menjelaskan apa yang menyebabkan dia tidak menggalakkan anak-anaknya menyertai dunia seni.

“Sebenarnya saya tidak gemar anak-anak menjadi artis, tetapi melihat minat dia cenderung ke arah itu, saya okey saja,” katanya.

Terdahulu Bil menjadi perhatian ramai apabila wajah jelitanya menjadi sebutan dalam kalangan netizen.

Bukan saja mewarisi rupa paras bapanya, Bil juga mewarisi kejelitaan ibunya yang juga bekas Ratu Cantik Malaysia 1993 dan pelakon, Susan Manen.

Menurut Mustapha, sebagai bapa yang juga masih aktif berlakon, dia terpaksa memilih watak yang bersesuaian dengan Bil selain selalu menasihatkannya menjaga disiplin jika mahu berjaya.

 

 

Keluarga bahagia Mustapha Kamal

“Dia masih di bawah jagaan saya. Kalau ada watak yang tidak sesuai dengan umurnya saya akan tolak.

Dalam apa juga pekerjaan yang dilakukan, saya sentiasa menasihati anak-anak supaya perlu ikhlas dan jaga disiplin serta pandai bawa diri. Insya-Allah akan berjaya di masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Bil mengaku kerjaya lakonan memberi kepuasan berganda kepada dirinya dan tidak menolak jika ini akan menjadi satu kerjaya tetap.

“Saya suka dengan apa yang dilakukan sekarang ini. Namun, semuanya terpulang kepada ayah kerana dia sangat memilih. Kalau dia tidak benarkan saya tidak akan terima.

“Apa saja tawaran yang diterima saya akan rujuk dulu kepada ayah. Dia juga akan sentiasa ikut menemani saya ke lokasi penggambaran,” katanya.

 

 

Sumber: BH