“Tolonglah saya. Saya tiada semuanya”

Penyanyi popular era 1980-an, Zaiton Sameon, 67, memaklumkan dia kini amat memerlukan bantuan kewangan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mengurangkan bebanan kos sara hidupnya.

Zaiton yang kini tinggal menumpang di rumah anak angkatnya, mengaku dalam kesusahan dan amat memerlukan bantuan kewangan daripada JKM tetapi tidak tahu bagaimana prosedurnya dan berharap jabatan itu dapat membantu.

“Tawaran persembahan menyanyi sekarang sudah tidak banyak. Begitu juga perniagaan rendang yang saya buat sebelum ini, sudah lama dihentikan kerana kekangan kewangan dialami.

“Saya tiada rumah, tiada harta, tiada anak, tiada ibu bapa dan tiada semuanya. Kasihan betul hidup saya,” katanya lagi.

Zaiton berkata, dia memohon bantuan rumah menerusi Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Kuala Lumpur, tahun lalu, namun hingga kini masih tidak mendapat apa-apa jawapan daripada pihak berkenaan.

“Minta bantuan rumah pun tak dapat lagi, beginilah nasib saya. Apapun, saya hanya mampu berdoa serta berharap agar ada pihak daripada JKM dapat membantu… Tolonglah saya,” katanya.

Pada 14 November tahun lalu, Zaiton menerima Kad Orang Upaya (OKU) menerusi kategori OKU Fizikal: Traumatic Brain Injur1es (Tr4uma Kecederaan Otak) daripada JKM Wilayah Persekutuan.

Zaiton yang popular dengan lagu Menaruh Harapan mengalami kemalagan jalan raya di Batang Kali, Selangor pada 1990 yang mengakibatkan anak tunggalnya, Azirwan Abu Bakar yang ketika itu berusia 13 tahun, meniggal dunia.

Penyanyi yang merangkul juara Anugerah Juara Lagu (AJL) 1987 ini parah di bahagian kepala hingga menyebabkan dia hilang ingatan sementara dan sejak itu juga zaman kegemilangannya berakhir.

Sumber:Buletin Tv3