HARUN Hashim bukan nama asing dalam dunia drama dan perfileman tempatan.
Kredibiliti pelakon veteran ini tidak boleh disangkal, pengalamannya yang dikumpul sejak era 70-an lagi sudah layak dibukukan untuk tatapan generasi hari ini.
Bertemu serampang dua mata dengan pelakon ini, Harun sebenarnya masih berlakon, cuma usia yang sudah menginjak lebih 60 tahun memperlahankan penglibatannya dalam bidang tersebut.
Antara projek terbarunya adalah menerusi sebuah drama 26 episod untuk tayangan Awesome TV. Katanya, itu adalah selepas sekian lama tidak muncul di kaca televisyen.
“Berbelas tahun saya tinggalkan lakonan. Orang nampak semula kewujudan saya dalam bidang ini selepas saya muncul dalam drama pendek, kasih ayah yang ditayangkan di Youtube sekitar tujuh tahun lalu.
“Sekarang kesihatan saya mengizinkan, saya nak aktif semula. Tiada kerja lain yang boleh saya buat selain berlakon,” katanya.
Kata Harun, dia sedikit terkilan kerana sering ditawarkan watak yang sama sedangkan dia masih mampu membawakan pelbagai watak.
“Nak kata puas, tidak. sebab saya boleh bawa pelbagai watak. Tapi balik-balik yang datang, watak sinonim dengan orang tua seperti seorang ayah atau warga emas berstatus haji. Saya berlakon sudah lebih 50 tahun. Kalau diberi watak yang lebih mencabar, Insya- Allah saya mampu bawakan dengan baik.
“Tapi saya kadang kala jauhkan diri kerana acap kali diberikan watak yang sama. berbeza ketika era 80-an dahulu, bermacam watak yang saya bawakan.
“Walaupun sekarang sudah berumur, saya masih boleh bawa watak mencabar. kemahiran itu ada, sebab saya belajar asas lakonan sebelum masuk ke dalam industri seni lagi,” ujarnya.
Dalam satu temubual berasingan,Harun Hashim kini bergelar duta kepuk dan bantu nisan Fitrah Enterprise.
Fitrah Enterprise menyediakan khidmat membina pusara secara percuma untuk golongan selebriti yang tidak berkemampuan dan asnaf yang meninggal dunia.
“Antara pusara selebriti yang kami sempat tolong binakan adalah pelawak Abam dan pengarah, Pitt Hanif.
“Saya buat kerja amal ini sebab saya tahu bukan semua artis kita berkemampuan. Ada yang hidup sebatang kara. Saya tahu sebab saya melaluinya.
“Dan pada usia-usia begini, saya nak membuat amal kebaikan. Lakonan bukan lagi perkara yang saya kejarkan. Kalau ada, itulah rezeki saya,’ kata pelakon berusia 67 tahun ini.
Bercerita mengenai keadaan kesihatannya, Harun kini mengalami masalah mata kirinya diliputi selaput.
“Namun, saya bersyukur masih dapat tawaran berlakon. Masalah ini berlaku semasa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) lagi. Mulanya mata macam masuk pasir. Dalam selaput itu ada air bertakung.
“Untuk masa ini saya tak boleh buat pembedahan sebab kena tunggu air kering. Selepas ini mungkin pembedahan akan dibuat di sebuah hospital di Klang.
“Selepas bedah saya kena pakai kanta di kedua-dua belah mata. Baca skrip tiada masalah. Baca dari mulut dah tahu akhirnya. Maklumlah dah 40 tahun,” katanya seraya mengakhiri perbualan.
Sumber:Utusan