Seniman popular era 80-an, Dharma Harun Al-Rashid ketika ditemui baru-baru ini masih mengalami beberapa kesan sampingan seperti sukar bertutur dan mengingati sesuatu termasuk menghidap asma selepas diser4ng angin ahmar pada tahun 2019.
Lantaran itu, Dharma, 68, berkata dia masih perlu mengambil ubat dan melakukan latihan untuk menguatkan ingatan seperti yang disarankan oleh doktor.
“Sekarang saya susah hendak ingat apa-apa. Kadang-kadang, saya tahu perkara itu, tapi hendak cakap itu yang susah.
“Jadi, untuk karier seni, saya memang tak boleh hendak mengarah atau berlakon. Saya hanya perlu ikut sahaja apa diarahkan dan berusaha untuk ingat sesuatu.
“Doktor juga nasihatkan saya untuk paksa dan buat latihan untuk memori saya. Disebabkan itu, saya tengok semula filem-filem lama,” katanya lagi .
Dharma yang muncul di layar perak buat kali pertama menerusi filem Adik Manja pada 1980 berkata, dia masih menerima tawaran lakonan, namun terpaksa menolak disebabkan tahap kesih4tannya tidak mengizinkan.
“Penerbit seperti Datuk Yusof Haslam dan Richard Ung ada panggil untuk berlakon, tapi saya terpaksa tolak sebab tak boleh berdiri lama dan pinggang juga tak berapa kuat.
“Tapi, kalau ada watak yang sesuai dan mampu untuk dijayakan, mungkin saya akan ambil sebab jiwa masih lagi dalam bidang lakonan.
“Seingat saya, kali terakhir berlakon lebih 10 tahun lalu,” katanya ditemui pada program Ziarah Madani bersama Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Ahmad Farhan Fauzi di kediamannya di Wangsa Maju, di sini, hari ini.
Menerusi program itu, Dharma menitiskan air mata sebaik menerima kunjungan daripada wakil Perdana Menteri.
Dharma kini tinggal bersama dua anaknya, Siti Qurratu Aini, 36, dan Muhammad Al Syafiq Mohamad Azman, 35, yang sedang melanjutkan pengajian di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA)
Sumber:BH