Hafizh Syahrin Abdullah mencipta sejarah sebagai pelumba Malaysia pertama berlumba dalam Kejuaraan MotoGP Dunia bersama pasukan Monster Yamaha Tech3.
Hafizh, juga diberi gelaran “Si Ikan” di kalangan ahli pasukan ketika dia menyertai perlumbaan kategori Moto2 siri CEV di Sepanyol pada 2012.
“Nama saya Hafizh, mereka (orang Sepanyol) susah nak sebut nama saya, nak keluar kata ‘Ha’ itu macam susah sangat, lalu mereka panggil saya ‘fizh’ sahaja”.
“Nak jadi cerita, musim pertama pada perlumbaan pusingan pertama, cuaca hujan. Saya memang suka hujan. Namun saya dapat tempat kelima. Terus melekat perkataan ‘fish’ sebab dalam Bahasa Inggeris fish bermaksud ‘ikan’ kemudian jadi ‘pescao’ sebab itu maksudnya dalam Bahasa Sepanyol”, cerita beliau diselangi ketawa.
Ternyata, cerita ‘Si Ikan’ dan hujan tidak tamat di situ sahaja.
Anak sulung daripada tiga adik beradik ini punya cerita menarik cara beliau mula menceburkan diri dalam bidang permotoran yang membawa beliau hingga ke tahap sekarang.
Waktu berumur antara tujuh hingga lapan tahun, Hafizh sering membantu ayah di bengkel motor bila pulang dari sekolah. Selalunya Hafizh akan ditugaskan membeli air minuman. Dengan pengetahuan ayah, wang baki akan disimpan sebagai tabungan.
“Bila duit dah cukup, saya ajak kawan ayah teman saya ke litar motosikal poket di kompleks membeli-belah Galaxy Ampang. Sekali main, RM20 untuk 15 minit. Kalau ada duit lebih, saya akan main beberapa kali hingga habis wang yang ada”, kata Hafizh.
Situasi ini berlaku tidak lama. Selepas sebulan, ayah mendapat tahu dan terus menemui pengusaha litar. Bila diberitahu yang Hafizh telah berbelanja hampir RM400 semata-mata untuk bermain motor, ayahnya menghalang beliau daripada ke sana lagi.
Rupa-rupanya ayah ada perancangan tersendiri. Tidak lama selepas kejadian itu, Hafizh diberi satu kejutan besar.
“Ayah paksa saya ikut beliau ke kedai alat ganti motor. Saya yang masih merajuk dengan ayah, ikut sahaja. Bila sampai ke kedai kedua, ayah pegang sebuah motor, saya tengok sahaja. Kemudian beliau bawa motor itu, letak dalam kereta, dan beritahu, motorsikal itu untuk saya”.
Sejak hari itu, Hafizh berlatih bersungguh-sungguh, hingga membawanya ke beberapa kejohanan motorsikal poket di seluruh negara dan mula mencipta nama hingga diberi gelaran ‘Raja Motorsikal Poket’.
Hafiz akan berlumba dalam saingan MotoGP hari ini di Sepang. akan menyaksikan anak Melayu berlumba dengan pelumba profesional dunia dalam kelas MotoGP. Bermula di petak ke 23 hari ini Hafiz sedikit terkesan dengan pembatalan sesi laltihan semalam kerana keadaan cuaca.
Walapun tidak dapat membuat yang terbaik pada sesi kelayakan itu dia tetap positif mahu menampilkan persembahan terbaik bagi mengumpulkan mata pada perlumbaan hari ini.