Ketika ramai rakan artis lain kembali membuka hijab dengan pelbagai alasan, nampaknya pelakon dan pengacara Che Ta pula mempunyai pandangan yang berbeza.
Mengambil kira dirinya yang lambat bertudung, kongsi Che Ta dia sebenarnya menyesal untuk mengambil masa yang lama sebelum membuat keputusan bertudung.
“Tiada cabaran hebat sebenarnya untuk saya sepanjang bertudung malah tidak pernah pula terfikir untuk membuka tudung selepas bertudung ini. Cuma apa yang saya menyesal lambat mengenakan tudung sahaja.
“Sebab kita tahu tudung ini wajib dan akhirat itu kekal, apa yang mahu kita kejar dalam dunia ini? Kita kumpul pahala untuk akhirat,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Kad Sim Glamor MyPrepaid Edisi Khas Rozita Che Wan baru-baru ini .
Enggan mengulas mengenai trend beberapa orang artis yang memilih untuk kembali tidak berhijab kini, kongsi Che Ta atau Rozita Che Wan, 46, dia bukan berada pada kedudukan untuk menghukum penampilan rakan artis yang berbuat demikian.
“Apa yang boleh saya kata sebenarnya ujian untuk kita ini berbeza. Kita sangka itu ujian untuk dia tetapi sebenarnya untuk diri kita, jadi kita tidak boleh menghukum.
“Jujurnya sebelum saya bertudung, niat Zain untuk melihat saya bertudung adalah pencetus. Jadi Zain bukanlah sebab utama saya bertudung kerana semuanya kena datang dari keikhlasan sendiri,” katanya.
Ditanya apa yang menguatkan dirinya untuk kekal bertudung, kongsi Che Ta lagi dia sentiasa dikelilingi mereka yang betul.
“Saya cari rakan-rakan yang betul, sebab kita tahu benda tidak baik ini sangat mudah terpengaruh.
“Jadi saya sangat bertuah untuk dikelilingi adik beradik yang semuanya bertudung selain kami banyak menghabiskan masa bersama berkongsi mengenai agama,” jelasnya.
Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! DTK
Sumber: mhetv