Peminat pr0tes konsert bintang KPOP Kim Jae Hwan batal saat akhir kerana tiada permit

SHAH ALAM 27 Julai – Polis mengesahkan acara penyanyi KPop, Kim Jae Hwan bertemu peminat di Stadium Melawati yang bertukar kecoh akibat konsert itu dibatalkan kerana tidak mempunyai permit.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharuddin Mat Taib berkata, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) tidak mengeluarkan permit untuk acara itu.

“MBSA tak keluarkan permit,” katanya ringkas ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Acara yang diberi nama 2019 Kim Jae Hwan Fan Meeting Mind:D itu sepatutnya berlangsung pada pukul 6 petang tetapi ribuan peminat yang hadir resah kerana sehingga pukul 6.30 petang pintu stadium masih belum dibuka.

Kekecewaan peminat semakin memuncak sebaik wakil penganjur muncul pada pukul 6.40 petang dan mengesahkan hasrat mereka untuk menyaksikan persembahan dan sesi bertemu dengan penyanyi berusia 23 tahun itu tidak menjadi kenyataan sehingga menimbulkan sedikit kekecohan.

Dikhabarkan harga tiket bermula dari RM282 hingga ke RM692.

Dalam pada itu, Baharuddin berkata polis telah meminta semua peminat bersurai dan mereka mematuhinya

“Semua sudah bersurai dan keadaan aman damai,” ujarnya.

Sumber:Utusan