Rahsia amalan Azlan Abdullah, dari pengutip sampah ke jutawan

SHAH ALAM – “Jadikan kemiskinan sebagai motivasi, jadikan kekayaan sebagai inspirasi. Apabila memperoleh rezeki, kita perlu bersyukur dan berbuat kebajikan dengan hidup berbakti.”
Demikian kata ikon usahawan muda, Mohamad Azlan Abdullah @ Ali, 32, yang kini kisah hidupnya dibukukan dengan tajuk ‘Rahsia Pengutip Sampah Jadi Jutawan’.

Peneraju syarikat Azlan Al Amin Properties Sdn Bhd itu turut bersyukur apabila kisah pengalaman hidupnya yang berasal dari keluarga miskin tegar, namun kini bergelar jutawan telah menjadi inspirasi kepada orang lain.

“Kita perlu sedar keberkatan, kesempitan atau kemurahan rezeki bergantung kepada hubungan kita dengan ALLAH. Jika kita ada masalah hubungan dengan ALLAH, rezeki sempit.

“Sebagai manusia, kita tidak pernah sunyi daripada kesilapan dan kelemahan, namun ALLAH melihat bagaimana kita mengubah kesilapan dan mengatasi kelemahan itu dengan bertindak untuk menjadi lebih baik dan memperbaiki kekurangan itu agar lebih cemerlang,” katanya ketika dihubungi penulis.

Sebenarnya semenjak bergelar pelajar lagi beliau sudah berusaha mencari nafkah. Dia pernah mengusahakan kebun jagung seluas 13 ekar secara bersendirian berhampiran Kolej Islam Sains & Teknologi (KIST), Bachok sewaktu belajar di sana.

Apabila kebun jagung itu membuahkan hasil, beliau nekad untuk berhenti belajar untuk memberikan fokus sepenuhnya kepada bisnes kebun jagung. Namun takdir Allah SWT mengubah segala-galanya. Ribut kuat melanda Bachok lalu memusnahkan segala impiannya dengan sekelip mata.

Pada waktu itu, jagung-jagung sudah mula menguning. Dia terduduk. Bukan sekadar harapannya meraih untung hancur berkecai, satu-satunya motosikal buruk yang dimiliknya terpaksa dijual untuk melunaskan hutang menyewa tanah. Selepas itu, dia hanya berjalan kaki.

Kemudian beliau berada di antara dua pilihan yang berat samada mahu meneruskan kuliah di KIST ataupun sebaliknya. Lalu dia pun memilih keputusan untuk mengorbankan pengajiannya di KIST. Hasilnya, dia dice muh oleh hampir semua orang yang mengenalinya. Pada masa itu, dia merasakan sedang berada di titik paling bawah dalam roda kehidupan. Sudahlah kehilangan kebun, dia kehilangan status sebagai seorang pelajar dan tidak memiliki pekerjaan. Wang simpanan untuk meneruskan kehidupan pun juga tiada.

Pada masa itu, dia merasakan hanya ada Allah SWT di sisinya.Itulah satu-satunya punca harapannya. Dia memujuk hati untuk mempercayai bahawa takdir Allah SWT adalah yang terbaik.

Mohamad Azlan berkata, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan sewaktu melalui fasa kehidupan yang sukar adalah apabila beliau menjadi pengutip sampah di bawah syarikat kontraktor pembersihan selama 6 bulan di Kem TUDM Gong Kedak, Pasir Putih, Kelantan pada 2005.

“Ketika itu, saya selalu membawa balik makanan kurang elok yang diasingkan untuk dibuang di kantin Kem TUDM tetapi masih boleh dimakan seperti ayam dan ikan untuk keluarga. Suatu hari bila balik rumah, saya nampak emak menangis melihat ulat jatuh dari poket baju saya ketika membasuh.

“Dari situ, saya tekad untuk mengubah kehidupan kerana kasihankan emak saya. Emak menangis dan berdoa.
“Saya menghargai jasa emak, Siti Aishah Ismail, 57, dan ayah, Abdullah @ Ali Ahmad, 73 yang membesarkan kami 16 beradik dan memberikan pendidikan walaupun serba kekurangan,” ujarnya.

Segalanya bermula pada Ramadhan 2010. Beliau bertekad meninggalkan rumah dengan berbekalkan RM1.30 untuk mengubah nasib diri dan kelurganya.

Dia memohon pada ibunya agar jangan sedih dan selalu doakan kejayaannya. Dia yakin, sebelum diberi nikmat, pastilah dia akan diuji oleh Allah SWT terlebih dahulu.

Siapa sangka, keputusannya itu telah membina kehidupan baru dengan menemukan beliau dengan Cikgu Halim Md Saman dan Cikgu Ramli Hassan yang membuka jalan rezeki kepada Mohamad Azlan dalam bidang hartanah.

Hari Bersejarah

Mohamad Azlan diberi kepercayaan untuk menjadi orang tengah/ ejen untuk menguruskan jual-beli tanah bagi sesiapa yang memerlukan. Dengan cara itu, dapatlah dia mendapatkan sedikit komisyen daripada setiap urusan jual-beli yang berjaya dilaksanakan. Dia pun nekad memohon pinjaman RM 50 daripada seseorang. Wang itu digunakan untuk membuat salinan 300 keping risalah untuk pengiklanan. Padahal ketika itu dia tidak tahu apa-apa tentang urusan jual-beli tanah.

Benarlah, rezeki itu daripada Allah SWT. Dalam masa tiga jam sahaja, dia berhasil mendapat RM 2,000. Seterusnya meningkat menjadi berpuluh dan beratus ribu ringgit. Dan dalam tempoh beberapa bulan sahaja, seorang yang asalnya ‘zero’ tiba-tiba menjadi ‘hero’.

Dia juga hampir-hampir lemas dan leka dalam limpahan rezeki yang tidak terhingga dan tak disangka-sangka itu. Dia bersyukur kepada Allah SWT yang segera memimpinnya agar kembali ke pangkal jalan untuk segera sedar bahawa rezeki itu sesungguhnya kurniaan Allah SWT dan bukan disebabkan oleh usaha dan kepintarannya.

Amalan Menjemput Rezeki

Dia juga mengakui terdapat beberapa amalan yang membantunya untuk mendapatkan rezeki yang luas. Antaranya, dia mengakui bahawa dia tidak akan memulakan sesuatu kerja selagi belum bersedekah. Alhamdulillah, rezeki datang mencurah-curah sehingga dia dapat meraih Sejuta Ringgit yang pertama dalam tempoh 2 Ramadhan.

Kisahnya, dia mendapat penggilan telefon daripada seseorang yang mahu menjual tanah seluas 5 ekar di Kg. Raja, Besut dengan harga serendah RM 428,000. Mohamad Azlan memecahkan tanah itu menjadi beberapa lot dan menjualnya semula. Urus niaga itu bernilai RM 1.5 juta. Dalam masa setahun itulah, seorang budak miskin berjaya menjadi jutawan.

Apabila dia merenung semula skrip kehidupannya, hatinya segera menjadi insaf. Rezeki besar yang dikurniakan Allah SWT ke atasnya bukan sekadar untuk memenuhi keperluan hidupnya, tetapi untuk dikongsi dengan orang yang memerlukan. Dengan izin Allah, dia berusaha menjaga kebajikan 70 anak yatim dan miskin yang berada di Besut, Pakistan. Kemboja dan Indonesia.

Azlan juga berkongsi tips supaya tidak bimbang dalam soal rezeki:

“Sebagai hamba, kita berusaha melakukan kerja-kerja yang kita mampu, Selebihnya biarlah Allah lakukan kerja-Nya’.

“Saya percaya kepada pemikiran positif akan menghasilkan tindakan positif, seterusnya membawa kejayaan. Bila dan di mana, saya tidak tahu. Apa yang pasti kejayaan akan hadir apabila saya berusaha dengan betul,” katanya.

Kisah ini membuktikan betapa besarnya rahmat Allah SWT yang ke atas makhluk yang bertawakal dan bersyukur dengan pemberianNya.

Benarlah, menjemput rezeki itu lebih mudah jika dibandingkan dengan mencari rezeki. Bagaimanakah caranya untuk menjemput rezeki? Iaitu dengan mengutamakan Allah SWT dalam setiap masa dan keadaan.

Semoga kisah ini menjadi inspirasi kepada semua pembaca agar tidak malas berusaha dan yakinlah dengan bantuan Allah SWT.

Sumber: Sinar Harian dan Arkibcerita