Walaupun berwajah Melayu, seorang lelaki di Kampung Lubuk Kawah di sini sering disalah anggap bukan Melayu kerana nama uniknya seperti rakyat Rusia.
Soezlov Hakemie Bedul, 53, sudah biasa dengan keadaan itu apabila ramai yang bertanya kan tentang namanya.
Nama unik itu diberikan oleh bapa saudaranya, Suhaimi Said yang baru yang baru pulang dari London ketika itu dan meminta izin kepada ibu bapanya, Bedul Deris dan Siti Nong Mohamed untuk menamakan anak saudaranya dengan nama itu.
“Ketika itu ibu bapa saya bersetuju meletakkan nama berkenaan kerana telah berjanji,” katanya.
Soezlov Hakemie berkata, hanya dia diberikan nama seperti itu manakala tiga adik-beradiknya bernama, Norazman, Baharom dan Suraya.
“Saya pun tak pernah bertanya kepada bapa saudara mengapa dia memilih nama tersebut,” katanya yang suka bersukan pada waktu lapang.
Disebabkan sebutan dan ejaan namanya yang unik, anak bongsu daripada empat beradik itu lebih selesa menggunakan nama Hakemie berbanding Soezlov.”
Memang masa sekolah, guru dan rakan hanya panggil nama Hakemie kerana berbelit nak menyebut Soezlov. Sekarang pun tak ramai tahu nama pangkal saya itu,” katanya.
Ditanya sama ada dia berdepan kesulitan kerana namanya itu, Soezlov Hakemie mengakui pernah berdepan masalah ketika membuat urusan rasmi.
Dakwanya, identiti dan keturunannya pernah dipersoalkan kerana nama Soevzlov.
“Kadang ada yang tak percaya, betul ke nama saya macam itu dan selepas ditunjukkan kad pengenalan, mereka terkedu seketika.
“Bila isi borang pun saya dah biasa orang bertanya berulang kali mempersoalkan nama Soezlov,” katanya.
Sementara itu, isterinya, Nor Shahima Othman, 37, berkata, dia juga terkejut ketika mula mengetahui nama sebenar suaminya.
Katanya, dia juga kurang percaya seperti orang lain pada peringkat awal.
“Ahli keluarga pun ketika itu tertanya, asal mana suami saya kerana nama tersebut,” katanya tertawa kecil ketika mengimbau nostalgia perkenalan dengan suaminya.
Menurutnya, dia yang telah berkahwin selama 13 tahun dengan Soezlov Hakemie tidak meletakkan nama yang unik kepada semua anak-anaknya.”
Memang ada terfikir nak letak nama Soezlov pada anak-anak tetapi tak jadi bila fikirkan kesulitan yang akan dihadapi nanti,” katanya.
Nor Shahima berkata, tiga anaknya diberikan nama Aliff Syahmi, 10, Qaseh Nur Iman Nabilla, 8, dan Aryan Hakeem yang baru berusia setahun lapan bulan.
“Saya pun dah lali jika ditanya rakan-rakan dan mereka yang tahun nama suami,” katanya.