Biar Cacat Penglihatan , Remaja Ini Dipilih Jadi Bilal Masjid Negeri Selangor

Seorang remaja kurang upaya cacat penglihatan melakar sejarah apabila dilantik menjadi bilal Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah buat kali pertama.

Bagi Mohammad Syafiizwan Mohd Suhaini, 19, dia tidak menyangka akan menjawat jawatan sebagai seorang bilal yang akan mewakili masjid utama di negeri Selangor.

“Ini semua rezeki daripada Allah. Saya menganggap pelantikan ini sebagai kejayaan serta penaik semangat buat golongan yang senasib dengan saya di mana insan istimewa seperti kita boleh berjaya,” ujarnya kepada Sinar Harian.

Berasal dari Kampung Bukit Kerayong Klang, Syafiizwan dilantik pada 1 Ogos lalu selepas berjaya melalui pemilihan Akademi Muazzin.

“Kejayaan ini juga sudah tentunya atas sokongan keluarga terutamanya ayah saya yang sejak awal menemani ketika menyertai Akademi Muazzin,” jelasnya lagi.

Malah, menurut siak Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Mohd Halim Mashor, kehadiran remaja istimewa itu menjadi buah mulut petugas-petugas dan imam sejak dia menyertai Akademi Muazzin Ogos lalu.

“Dia tidak nampak sama seperti manusia normal tetapi cukup hebat bertaranum, qasidah dan sebagainya.

“Insan sebegini kita patut sanjungi kerana dia juga berupaya mengubah nasib individu yang senasib dengannya satu hari nanti,” ujar imam tersebut.

Sumber: Sinar Harian